MOSTI sasar 15,000 penyertaan di Minggu Sains Negara 2026
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat terus diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Selatan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, penganjuran karnival itu bukan sahaja bertujuan mendekatkan masyarakat dengan bidang sains, malah turut meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Pelbagai aktiviti pembudayaan sains yang disediakan sepanjang karnival itu dapat memberi pendedahan secara interaktif kepada golongan pelajar, sekali gus menyemai minat mereka untuk menceburi bidang berkaitan STEM.
"Bagi 2026, MOSTI menyasarkan penyertaan seramai 15,000 orang dari seluruh negara menerusi pelbagai program dan aktiviti sempena MSN 2026," katanya dipetik laporan media.
Beliau sebelumnya hadir ke Majlis Peluncuran Karnival Minggu Sains Negara Zon Selatan di Dewan Canselor UTEM di Durian Tunggal.
Karnival tersebut mengetengahkan Program Advokasi Nuklear bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat” bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai teknologi nuklear serta manfaatnya dalam kehidupan seharian.
Program memberi penerangan berasaskan fakta mengenai penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab, selain merungkai persepsi serta salah faham masyarakat terhadap bidang berkenaan.
Sementara itu Chang berharap penganjuran MSN 2026 bakal terus menjadi pemangkin kepada usaha membentuk masyarakat yang celik sains dan teknologi, selain melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta bersedia meneroka bidang STEM selaras dengan keperluan masa hadapan.




Comments