MOSTI komited angkat ASEAN sebagai hab inovasi global - Lih Kang
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 2 min read

Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi memacu pembangunan ekosistem syarikat pemula niaga (startup) ASEAN ke tahap lebih tinggi selaras aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan rantau ini sebagai salah satu hab inovasi global terkemuka.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, fokus utama kini tertumpu kepada pengukuhan dasar inovasi, pelaburan serta mobiliti bakat bagi memastikan tiada negara, syarikat pemula mahupun inovator yang ketinggalan dalam arus kemajuan serantau.
"Malaysia melalui MOSTI dan Cradle akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat ASEAN, pemain ekosistem serta sektor swasta sebagai satu gerakan serantau yang mampan dan berimpak tinggi.
"Aspirasi kolektif ini untuk meletakkan ASEAN antara ekosistem startup terbaik di peringkat global, bukan sahaja kerana potensi pasaran, tetapi juga daya inovasi, kreativiti dan ketahanannya," katanya dipetik.
Chang berkata begitu ketika menyampaikan ucapan penutup Cradle LIVE! bersempena Sidang Kemuncak Startup ASEAN 2025 di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Sidang kemuncak selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk wakil kerajaan, pelabur, pembangun ekosistem dan pengasas startup dari semua Negara Anggota ASEAN (AMS) serta antarabangsa.
Bertemakan “Scaling Startups Beyond Borders”, ia merupakan persidangan teknologi Startup ASEAN pertama di bawah Pengerusian ASEAN oleh Malaysia sekaligus menandakan langkah penting ke arah memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab inovasi dan keusahawanan global.
Sementara itu menerusi ucapannya Chang turut memaklumkan, Platform syarikat startup ASEAN yang dibina sejak setahun lalu, kini berjaya menghubungkan lebih 8,600 syarikat pemula dan 1,700 pelabur di seluruh ASEAN.
Pencapaian itu jelasnya menandakan satu kejayaan besar kepada rantau ini dalam mencipta enjin pemacu seterusnya, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan serantau.









Comments