
Agensi penarafan kewangan antarabangsa Moody’s Ratings hari ini mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap A3
Penarafan itu merupakan antara yang terbaik diperolehi negara dalam tempoh sedekad kebelakangan ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hal itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas serta komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
"Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan semua rakyat Malaysia.
"Dalam tahun ini, kerajaan akan memastikan pembaharuan fiskal dan ekonomi lebih pesat, seperti digaris dalam Belanjawan 2025 di samping beri keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta percepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kpelbagaian ekonomi dan peluang baharu," katanya dalam kenyataan.
Sementera itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pentadbirannya juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi tersebut ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini.
Moody’s Ratings dalam penarafannya menyatakan prospek perumbuhan jangka sederhana Malaysia amat memberangsangkan.
"Kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagai struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor menggalakkan perbelanjaan, disokong pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan sofistikated," kata kenyataan itu.
Secara keseluruhan Moody’s melihat prospek masa hadapan yang baik buat Malaysia dengan politik yang stabil dan memberi ruang untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur serta institusi, temasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perudangan lain.
Selain itu, Kementerian Kewangan berharap pertumbuhan ekonomi kekal tinggi pada 2025 sebagaimana rekod pada 2024 lalu.
"Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025 dengan unjuran antara 4.5% hingga 5.5%.
"Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023," kata kenyataan Kementerian Kewangan.
Comments