Monsun Barat Daya: Selangor komited pastikan kualiti udara sihat
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komited untuk melindungi kualiti udara dan kesihatan rakyat di negeri itu sepanjang tempoh Monsun Barat Daya kali ini.
Exco Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, situasi cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga September dengan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan bakal meningkatkan risiko jerebu.
Justeru pihaknya akan mempertingkat kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperhebat program kesedaran awam mengenai bahaya pencemaran udara.
"Selain itu penguatkuasaan akan dijalankan, PBT diminta memastikan kilang-kilang di negeri ini mematuhi penggunaan sistem kawalan pencemaran yang baik.
"Setiap kilang diwajibkan menggunakan sistem kawalan pencemaran yang baik. Kilang yang gagal mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan tegas," katanya dipetik laporan media.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip sebelum ini memberi amaran, aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal memungkinkan fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan berlaku terutama ketika kemuncak monsun pada Julai hingga September.
Sementara itu Jamaliah menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah secara tidak terkawal.
Susulan itu beliau menyeru sebarang insiden pembakaran terbuka dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.
Selain itu beliau memberi jaminan bahawa Selangor bersedia mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan peningkatan membimbangkan.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti sesak nafas atau batuk teruk," tambahnya.