Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk menghentikan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam industri padi dan beras negara.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan seharusnya menilai prestasi semasa syarikat Bernas yang sudah memonopoli industri berkenaan sejak menandatangani perjanjian konsesi bersama kerajaan pada 1996.
"Kita perlu mengutamakan kualiti padi dan beras supaya tidak dibolot oleh satu syarikat sahaja.
"Justeru, kerajaan perlu buka kepada syarikat-syarikat lain supaya harga lebih kompetitif, supaya rakyat boleh menikmati kualiti beras yang lebih baik," katanya ketika sesi penggulungan menteri di Dewan Rakyat.
Pada masa sama, Saifuddin mempersoalkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh konsesi Bernas.
Ronald bagaimanapun berkata kajian akan dilakukan terlebih dahulu sebelum mengumumkan mengenai perkara itu, sekali gus menyebabkan Saifuddin tampil dengan lebih banyak soalan.
"Ada lima bulan lagi sebelum konsesi Bernas tamat, jadi apakah kerajaan sebenarnya sudah ada rancangan melanjutkan tempoh konsesi.
"Bernas juga ada tuntutan ratusan juta mengenai soal aset dan implikasi kos kepada kerajaan.
"Jika kajian dibuat, ia akan membawa kepada pasaran import melalui proses tender, dan itu akan memakan masa.
"Dalam tempoh 5 bulan, tidak memungkinkan kalau berlaku penamatan serta-merta. Adakah akan berlaku crash landing?" soalnya.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula mahu kerajaan mengambil kira pandangan petani sawah yang enggan monopoli Bernas diteruskan.
"Ada 300,000 petani sawah mengadu tentang monopoli tersebut. Kalau buka pasaran duopoli dalam industri padi dan beras pun boleh dilaksanakan.
"Ia boleh dilakukan menerusi jawatankuasa bersama atau diterajui kerajaan sendiri," katanya.
Comments