top of page

Surat Terbuka: Mohon Agong perkenan Datuk Seri Anwar PM baharu



Surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong


Salam Sejahtera,


Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong


Ampun Tuanku,


1) Dengan segala hormat, patik berdoa agar Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan dan perlindungan dari Tuhan.


2) Patik dengan penuh takzim menerusi warkah ini ingin memohon dan merafakkan sembah agar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai sokongan kukuh dan menyakinkan dari kalangan majoriti Ahli Parlimen diberi peluang untuk membentuk kerajaan baharu.


3) Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun, Tuanku merupakan payung kepada negara Malaysia dan patik yakin Tuanku amat adil dalam membuat sesuatu keputusan.


4) Seperti yang diketahui umum, hari ini, Ahli Parlimen Machang iaitu YB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub telah menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.


5) Sesebuah kerajaan yang tidak memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen wajar diganti dengan kerajaan yang mempunyai sokongan menyakinkan atau kembalikan semula mandat kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Patik yakin buat masa ini tidak sesuai PRU diadakan.


6) Patik juga hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan ini yang mempunyai lebih dari 70 Menteri dan Timbalan Menteri untuk menangani pandemik Covid-19 yang setakat ini sudah mencecah jumlah keseluruhan 133,559 kes dengan jumlah kematian 542. Angka-angka ini merisaukan rakyat Malaysia.


7) Dalam keadaaan ekonomi baru mula untuk pulih, rakyat Malaysia terutamanya golongan anak muda dalam segmen ekonomi gig dan peniaga-peniaga kecil sudah mula merungut mengenai desas desus berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mungkin akan dilaksanakan kelak.


8) Di kala krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19, negara memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi secara berperingkat. Kewibawaan ini dimiliki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan.


9) Berlandaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan;


"Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong".

Demi kesejahteraan rakyat dan proses demokrasi berparlimen, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.


10) Akhir kata, Patik berharap Tuanku Baginda akan menggunakan segala kebijaksanaan untuk mengambil keputusan terbaik demi rakyat Malaysia dan negara tercinta. Patik pohon ampun atas apa jua kekhilafan dalam warkah ini. Semoga rakyat dan negara Malaysia akan selamat daripada pandemik Covid-19 dan bencana banjir.


Daulat Tuanku.


Patik dengan segala hormat takzimnya;


Prasanth Kumar Brakasam

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Melaka,

Rakyat Malaysia

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page