Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pemikir Islam Indonesia, Dr. Mohammad Natsir banyak mengajarnya mengenai reformasi dan toleransi dalam Islam.
Presiden KEADILAN itu berkata, beliau sempat bertemu dengan Natsir ketika mewakili Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia pada 1967 dan kagum dengan pemikiran bekas perdana menteri Indonesia itu.
"Pemikiran Islam ketika itu sangat dipinggirkan tetapi apabila saya bertemu dengan Natsir, saya teruja kerana beliau seorang yang sangat terpelajar. Beliau mempunyai pelbagai idea, seorang reformis malah merupakan seorang pembela Islam.
"Kami sebagai persatuan di Malaysia ketika itu banyak dipengaruhi dengan gerakan Islam di Indonesia seperti Parti Masyumi dan Natsir sendiri sebagai salah seorang pengasasnya," katanya ketika menyampaikan ucaptama mengenai personaliti dan sumbangan Dr. Mohammad Natsir sebagai pemimpin negara dan antarabangsa pada abad ke-20.
Anwar berkata, apa yang membuatkan beliau tertarik dengan pemikiran Natsir adalah kerana perjuangannya dalam Islam dan toleransi terhadap orang bukan Islam.
"Pemikirannya bersifat inklusif, sentiasa memikirkan dari sudut kepentingan Islam.
"Tetapi pada masa sama menghargai, memahami dan bertimbang rasa terhadap sentimen penganut agama Hindu, Buddha dan Kristian," katanya.
Justeru, Anwar berpendapat pemikiran Natsir sangat sesuai dengan perjuangannya yang membawa parti KEADILAN di Malaysia.
"Beliau memperjuangkan bahasa, budaya tetapi pada masa yang sama menumpukan kepada soal pembangunan, pendidikan dan kemajuan negara.
"Ini termasuk soal pentadbiran, anti rasuah, etika dan inklusiviti. Semua ini sangat berkait rapat dengan keadaan di Malaysia," katanya.
Comments