Mobile Phone Data: Tiada penyalahgunaan maklumat peribadi, menjejak individu
- Suara Keadilan
- Jun 13
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
ANALISIS BERITA: Rakyat di negara ini seharusnya berlapang dada dan tidak perlu terpengaruh dengan 'cakap-cakap' yang kurang enak tentang pelaksanaan Projek ‘Mobile Phone Data’ (MPD) yang bertujuan untuk menyokong perancangan dasar kerajaan berasaskan bukti, khususnya dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pelancongan.
Realitinya, inisiatif oleh Kerajaan MADANI itu dilaksanakan tanpa mendedahkan sebarang maklumat peribadi rakyat atau dalam bahasa mudahnya menyalahgunakan data sebagaimana dimomokkan oleh sesetengah pihak termasuk pembangkang.
Penting untuk difahami bahawa data MPD ini tidak disertakan dengan maklumat peribadi pengguna seperti nama, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.
Antara salah faham yang tersebar ialah dakwaan kerajaan boleh menjejak pergerakan individu.
Hakikatnya, MPD tidak mengambil data peribadi. Apa yang direkodkan hanyalah jumlah peranti yang bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain tanpa sebarang identiti.
Sebaliknya, data yang dikumpul telah dinyahidentiti dan digabungkan secara agregat sebelum digunakan untuk tujuan analisis.
Ini bermaksud, maklumat tersebut tidak boleh dikesan semula kepada mana-mana individu.
Sebagai contoh, sistem hanya akan mencatat bahawa 5,000 telefon telah bergerak dari Seremban ke Nilai dalam tempoh tertentu, bagaimanapun tidak diketahui siapa pemilik peranti berkenaan.
Contoh kedua pula, jika ramai pengguna dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, data ini boleh membantu Kerajaan menambah bas ekspres atau naik taraf jalan raya utama.
Seperkara lagi, MPD ini juga bukan alat penjejak yang boleh mengesan pergerakan rakyat, sebaliknya data atau statistik yang kelihatan adalah berkaitan trend pergerakan umum dan bukannya individu.
Paling penting, hanya pegawai yang diberi kuasa di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) boleh melihat maklumat yang dipaparkan, malah ia sama sekali tidak dikongsi kepada pihak luar.
Selepas selesai digunakan, data akan dipadam atau disimpan secara selamat mengikut peraturan ketat dan umum perlu tahu bahawa projek ini juga turut mengikut garis panduan Pertubuhan Telekomunikasi Dunia (ITU), Global System for Mobile Communications (GSMA) dan Dasar Keselamatan ICT negara.
Projek MPD bukanlah alat pemantauan atau pengintipan, sebaliknya membantu kerajaan merancang kemudahan awam lebih baik, cepat dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Comments