top of page

MN 2.0 sukar dibentuk, tiada formula jelas pembahagian kerusi - Dr Mazlan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Muafakat Nasional (MN) 2.0 sukar dilaksanakan kerana UMNO mempunyai pengalaman pahit bersama Pas dalam MN 1.0, sebelum Pas akhirnya memilih untuk bergabung dengan Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN) pada 2021.


Meskipun ketika ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh giat berkempen untuk melaksanakan cita cita kelompok beliau, namun penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali (gambar) berpendapat MN 2.0 amat sukar untuk menjadi kenyataan.


Katanya, perkara yang utama yang akan dipertimbangkan oleh pemimpin UMNO adalah pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) atau negeri yang mana hal itu menjadi hambatan utama, menyebabkan UMNO dan Pas tidak bersama dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Johor dan PRU 2022 lalu biarpun mereka dalam kerajaan yang sama.


"Adakah bila bersama Pas, UMNO akan dapat bertanding di kerusi-kerusinya (majoriti Melayu)? Hal ini kerana Pas juga bertanding di kerusi-kerusi Melayu.


"Misalnya berapakah kerusi di Terengganu, Kelantan yang Pas sanggup beri kepada UMNO?


"Jika perkara itu (pembahagian kerusi) tidak dijelaskan lebih awal, maka MN 2.0 itu sekadar cadangan sahaja. Ia tidak akan menjadi kenyataan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Mengulas mengenai usaha yang sama dilakukan di pihak Pas, Dr Mazlan berkata, perpaduan Melayu memang menarik minat sebahagian besar orang Melayu dan bagus sebagai tema kempen tetapi realitinya Malaysia akan sekali lagi masuk ke dalam politik tidak jelas dan tidak stabil seperti pada era 2020-2022.


Pada waktu itu, katanya, kewujudan MN tidak menyebabkan orang Melayu bertambah baik dari segi kedudukan ekonomi mahupun taraf sosial. Sebaliknya, kebuntuan politik antara Pas dan UMNO menyebabkan UMNO kemudiannya bergerak secara solo.


Katanya, pengalaman lalu menunjukkan Pas memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu yang lebih mudah berunding kerusi bagi membentuk PN, manakala UMNO ditinggalkan bersendirian.


"Akhirnya, selepas keputusan PRU-15, UMNO-BN memutuskan untuk bergabung dengan Kerajaan Perpaduan," ujarnya lagi.


Kewujudan MN 2.0 diuar uarkan oleh segelintir Pemuda UMNO sebagai solusi terbaik membela kaum Melayu sejak kebelakangan ini.


Bagaimanapun, majoriti anggota UMNO masih sangsi dengan idea berkenaan kerana Pas tidak akan meninggalkan PN, malah akan menguasainya. Maka pembahagian kerusi pada pilihanraya akan datang pastinya mengambil kira keberadaan Bersatu yang merupakan musuh ketat UMNO, dan bakal berkongsi bertanding di kawasan Melayu yang menyukarkan UMNO untuk berkembang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page