top of page

MM2H: Penjelasan Zaharudin keliru, serlah kedangkalan sendiri - AMK

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 28
  • 2 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) membidas penjelasan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad mengenai kenyataan dibuatnya baru-baru ini.


Ketua Biro Undang-undang dan Pengaduan Awam AMK, Khairul Naim Rafidi menegaskan, penjelasan Zaharudin yang cuba menjustifikasi kenyataannya mengenai program Malaysia My Second Home (MM2H) adalah mengelirukan dan hanya menunjukkan kedangkalan terhadap peruntukan mengenai undang-undang kewarganegaraan di negara ini.


Menerusi satu kenyataan, Khairul berkata kenyataan mendakwa program MM2H membuka laluan kepada warga asing menjadi warganegara dan mungkin boleh diangkat sebagai perdana menteri amatlah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta perundangan.


Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan, program MM2H hanyalah visa jangka panjang yang tidak membawa kepada taraf pemastautin tetap atau kewarganegaraan, malah anak peserta yang lahir di Malaysia juga tidak secara automatik menjadi warganegara.

"Perkara 14 dan 15 Perlembagaan Persekutuan menetapkan syarat ketat bagi pemberian kewarganegaraan termasuk status ibu bapa, tempoh pemastautinan serta kelulusan khas kerajaan.


"Perkara 19 memperuntukkan bahawa seseorang hanya boleh menjadi warganegara melalui naturalisasi selepas tinggal di Malaysia lebih 10 tahun, menguasai bahasa kebangsaan dan mengangkat sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.


"Namun yang paling penting, Perkara 43(7) Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa individu yang memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri," tegasnya.


Zaharuddin sebelum ini mencipta kontroversi apabila membuat hantaran di Facebook terkait gambaran Malaysia pada tahun 2058, dan ‘naturalisasi PM’ dengan turut menyertakan gambar pelantikan Johnny Lim Eng Seng sebagai leftenan jeneral berbangsa Cina yang pertama.


Susulan kritikan ramai, menantu kepada Presiden Pas itu kemudian memadam hantaran tersebut. Dalam hantaran susulan, Zaharuddin mendakwa bahawa catatan asalnya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang MM2H.


"Naratif yang dibawa Zaharudin mencemarkan asas Perlembagaan yang menjadi tunggak perpaduan negara, cuba memanipulasi sentimen kaum demi kepentingan politik sempit.


"Sebagai ahli politik, Zaharudin seharusnya memiliki keberanian moral untuk memperbetulkan kenyataan yang salah dan memohon maaf kepada rakyat atas kegusaran yang ditimbulkan," kata Khairul Naim.


Sehubungan itu AMK menyeru agar semua pihak mempertahankan kedaulatan undang-undang dan integriti institusi negara dengan menolak politik yang berasaskan ketakutan dan prejudis kaum.


"Negara ini dibina atas semangat Perlembagaan. Tolak sebarang usaha untuk memesongkan fakta demi agenda politik sempit," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page