MKT UMNO terus sokong padu kepimpinan PM Anwar
- Suara Keadilan

- Dec 7, 2023
- 1 min read

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat malam tadi memutuskan untuk terus mendukung kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agungnya Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar, kanan) melalui satu kenyataan malam tadi berkata, ketetapan itu dibuat sebagaimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 24 November 2022 dan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari 2023.
"Mesyuarat (MKT) juga memperakukan bahawa semua Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN UMNO akan terus mendokong pendirian parti untuk menyokong kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Asyraf juga berkata mesyuarat MKT UMNO malam ini juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di negeri-negeri bermula Januari tahun depan.
"Bagi mempertingkatkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia, Mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri-Negeri bermula Januari 2024," katanya lagi.
Sokongan UMNO ke atas pentadbiran PM Anwar amat penting apabila pemimpin tinggi Pas cuba memancing UMNO untuk kembali bersama Muafakat Nasional dengan menyertai gabungan PN sejak usai Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman yang menyaksikan calon UMNO tewas dengan majoriti besar di kerusi pengundi Melayu.
Kredit foto: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki




Comments