top of page

MKM bukan alat bina kepentingan politik peribadi — Mantan Presiden

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) tidak wajar dijadikan alat kepentingan peribadi demi membina pengaruh atau kedudukan politik tertentu, tegas seorang mantan Presidennya.

Mohammad Shahrul Nizam (gambar) berkata sebagai mengulas tindakan beberapa pimpinan MKM yang mengumumkan keluar dari parti KEADILAN selepas menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.


"Saya dimaklumkan bahawa tindakan mereka tidak mendapat sokongan majoriti pimpinan mahupun akar umbi MKM.


"Hakikatnya, tindakan tersebut lebih kepada usaha menutup kelemahan sendiri dan rasa malu atas kegagalan mengemudi organisasi, bukannya perjuangan prinsip seperti yang cuba digambarkan," katanya.


Beliau turut mengimbau bagaimana MKM sebelum ini aktif membina jaringan bersama pelbagai gerakan mahasiswa serta terlibat dalam wacana terbuka dengan pelbagai kelompok mahasiswa lain demi mempertahankan idealisme reformasi.


"Awal dahulu, tiada siapa yang peduli Mahasiswa Keadilan. Program kami gerakkan dengan kudrat sendiri demi memastikan gerakan ini terus hidup. Inilah asas perjuangan kami — sederhana, susah, tetapi penuh keikhlasan dan keyakinan terhadap idealisme reformasi.


"Namun hari ini, kita melihat sesuatu yang amat mengecewakan. Perjuangan yang dibina dari bawah ini semakin jauh tersasar daripada roh asalnya. Segelintir mereka selesa dengan jawatan, lebih sibuk menjaga kedudukan daripada membina gerakan.


"Apabila tidak mendapat apa yang diinginkan, maka hilang kepercayaan, kecewa, lalu memilih untuk meninggalkan perjuangan dan membina naratif seolah-olah mereka pejuang prinsip," tambahnya.


Sementara itu, Shahrul Nizam menerusi kenyataan sama turut menyatakan keyakinan bahawa MKM akan terus teguh dan bangkit dengan kepimpinan baharu yang lebih bertanggungjawab, matang dan setia kepada prinsip perjuangan reformasi.


Tindakan pimpinan yang meninggalkan organisasi dalam keadaan tidak stabil jelasnya bukan sahaja merugikan masa depan perjuangan mahasiswa, malah dianggap pengkhianat kepada gerakan sendiri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page