Alasan pimpinan MKM keluar parti lemah, KEADILAN kekal di landasan reformasi
- Akmal Manaf

- 15 minutes ago
- 2 min read

Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) menyifatkan tindakan beberapa ahli sayap mahasiswa keluar parti sebagai langkah yang perlu dipertimbang secara matang sebelum membuat keputusan besar kerana boleh memberi kesan kepada perjuangan masa depan mereka.
Beliau berkata, jika cabaran ekonomi semasa atau isu kenaikan harga tertentu menjadi faktor mereka keluar parti, keadaan itu perlu dilihat secara menyeluruh, adil dan rasional.
Katanya, Kerajaan MADANI hari ini masih berada di landasan yang betul dalam usaha memulihkan ekonomi negara, memperkukuhkan pelaburan, menjaga kebajikan rakyat serta melakukan reformasi institusi yang selama ini dituntut rakyat.
"Malah, alasan yang diberikan juga dilihat tidak konsisten dengan pelbagai langkah dan dasar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan untuk membantu rakyat termasuk memperkukuh ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur, memperluas bantuan bersasar serta memperbaiki tatakelola pentadbiran negara.
"Kita tidak boleh menilai keseluruhan perjuangan hanya berdasarkan sentimen sementara atau tekanan politik semasa. Perubahan besar memerlukan masa, kesabaran dan komitmen semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abun berkata, sebagai generasi muda dan mahasiswa, mereka sepatutnya terus menjadi suara semak dan imbang yang matang, bukannya mudah kecewa lalu meninggalkan medan perjuangan.
Ujarnya, politik bukan sekadar soal jawatan atau emosi, tetapi mengenai tanggungjawab membina masa depan negara.
"Saya percaya ruang dialog dan perbezaan pandangan sentiasa terbuka dalam sebuah parti demokratik.
"Namun saya berharap adik-adik mahasiswa berfikir dengan lebih panjang sebelum membuat keputusan besar yang boleh memberi kesan kepada perjuangan masa depan mereka sendiri.
"Jangan kerana ribut sementara, kita meninggalkan kapal perjuangan yang masih belayar membawa agenda reformasi untuk rakyat dan negara," kata Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.
Semalam, lapan pemimpin majlis pimpinan pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengumumkan telah keluar dari KEADILAN selepas menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Presiden parti iaitu Anwar yang juga Perdana Menteri.
Pengerusinya, Ram Erfan Zur Nuqman mengesahkan perkara berkenaan pada satu sidang media di Petaling Jaya.




Comments