AMK desak Nik Zawawi mohon maaf secara terbuka, betulkan kenyataan
- Suara Keadilan

- 27 minutes ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh agar membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan kontroversi yang didakwa menyentuh sejarah para sahabat Rasulullah s.a.w.
Naib Ketua AMK Malaysia, Nadia Nazri berkata, kenyataan yang tular itu telah mencetuskan keresahan awam kerana melibatkan tokoh besar Islam seperti Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab.
Menurut beliau, antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk gambaran tidak tepat terhadap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar yang tidak ditemui dalam riwayat sejarah serta tidak beradab.
"Antara kenyataan yang mencetuskan keresahan awam ialah dakwaan Saidina Abu Bakar merupakan seorang “bapa ceti” yang memeras orang miskin, manakala Saidina Umar al-Khattab pula digambarkan sebagai seorang yang suka berzina sebelum memeluk Islam.
"Para sahabat Rasulullah s.a.w bukan bahan untuk memanaskan pentas politik. Mereka adalah generasi yang menjadi jambatan antara wahyu dan umat; generasi yang mempertahankan Islam ketika agama ini ditekan dan diperangi," katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, sekiranya kenyataan Nik Zawawi tersebut benar seperti dilaporkan, ia berisiko mencemarkan kefahaman masyarakat terhadap kedudukan sahabat Nabi SAW.
"Nama sebesar Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar tidak boleh disebut secara cuai, apatah lagi dengan gambaran yang merendahkan martabat mereka dalam sejarah Islam," katanya.
Tambah Nadia, isu itu lebih membimbangkan kerana ia melibatkan individu yang memegang kedudukan penting dalam struktur ulama Pas.
"Persoalan timbul sama ada ini standard ilmu dan adab yang mahu dibawa dalam wacana politik Islam hari ini?" soalnya.
Sehubungan itu, AMK menggesa agar kenyataan tersebut ditarik balik dan diperbetulkan secara terbuka, selain menuntut kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia menyatakan pendirian rasmi.
Beliau turut mempersoalkan cadangan oleh pemimpin Pas, Tan Sri Annuar Musa supaya isu berkenaan dibincangkan secara dalaman.
"Apabila kenyataan dibuat di pentas awam dan mengundang kekeliruan umat, maka pembetulannya juga mesti dibuat secara terbuka," tegasnya.
Sewajarnya, Nadia berkata, budaya menggunakan agama secara selektif demi kepentingan politik perlu dihentikan.
"Islam tidak memerlukan retorik melampau, sebaliknya memerlukan ilmu, adab, kejujuran dan tanggungjawab
"Jangan kerana terlalu ghairah berpolitik, sejarah para sahabat pula menjadi mangsa," katanya lagi.




Comments