
Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) terus berusaha memperkasa komuniti itu termasuk dengan menyediakan latihan sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, P Prabakaran berkata, pihaknya kini membuka tawaran untuk graduan masyarakat India lepasan Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat menyertai latihan lanjutan dalam bidang keselamatan siber dan teknologi maklumat menerusi Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber EC Council Tahun 2024/2025.
"Walaupun ramai graduan tempatan berjaya menamatkan pengajian teknologi maklumat namun mereka tidak mampu melopori kerjaya keselamatan siber kerana jurang antara kemahiran dan keseluruhan industri.
"Justeru untuk meningkatkan kapasiti mereka dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan teknologi, maka MITRA telah merangka program berkenaan.
"Mereka akan diberikan latihan percuma selama empat bulan merangkumi penempatan kerjaya kepada 200 peserta yang terpilih," katanya dipetik.
Mengulas lanjut Prabakaran berkata program itu akan dikendalikan oleh Intellize Tech Services Sdn Bhd (Intellize) dengan kerjasama badan pensijilan teknikal keselamatan siber terbesar di dunia iaitu EC Council.
Para peserta akan ditawarkan sijil profesional dalam EC Council Security Specialist, Certified Network Defender dan Certified Ethical Hacker selain juga akan didedahkan kepada kemahiran insani (soft skills) seperti etika pemakaian, penulisan resume dan sebagainya.
"Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://www.intellize.com.my/mitra/ sehingga 31 Jan ini.
"Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan program itu boleh diajukan kepada MITRA atau Intellize di talian 03-88866262/03-88866002/03- 88008932 pada hari bekerja atau emel kepada sek@mitra.gov.my atau mitra-ecc@intellize.com.my," tambahnya.
Comentários