MITRA salur RM6.7 Juta perkasa sosioekonomi komuniti India
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI terus komited memastikan agenda pembangunan sosioekonomi dinikmati semua rakyat di negara ini termasuk membabitkan masyarakat India.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan memaklumkan, peruntukan RM6.7 juta sudah disalurkan bagi melaksanakan tiga inisiatif utama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) .
Tiga inisiatif tersebut iaitu Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, usahawan serta rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
"Program Tuisyen MADANI 2026 membabitkan 28 pusat tuisyen di tujuh negeri, dengan 2,343 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima manfaat menerusi kelas tuisyen percuma selama lima bulan bermula Ogos hingga Disember ini.
"Program yang membabitkan peruntukan RM2.63 juta ini bertujuan meningkatkan pencapaian akademik, mengurangkan jurang pendidikan serta meringankan beban kewangan keluarga," katanya dipetik laporan media.
Ramanan berkata begitu pada Majlis Penyampaian Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI di Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, menerusi Program Geran Usahawan India B40/M40 (Uyarvu MADANI) Siri I 2026 pula, sebanyak 128 usahawan dipilih menerima geran berjumlah lebih RM3.05 juta di bawah kategori mikro, pertumbuhan dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, bantuan itu bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, memperkukuh daya saing serta memperluas pasaran, sekali gus menyumbang kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masyarakat India.
"Selain bantuan geran melalui MITRA, usahawan dalam kalangan masyarakat India juga boleh memohon bantuan geran perniagaan menerusi agensi lain seperti SME Bank, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, bagi Program Dharma MADANI siri empat pula, sebanyak 52 rumah ibadat Hindu menerima peruntukan keseluruhan RM1.04 juta, manakala 324 rumah ibadat Hindu lain akan menerima geran berkenaan dalam masa terdekat.




Comments