MITRA pertahan agih komputer riba terpakai kepada murid SJKT
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mempertahankan keputusan mengagihkan komputer riba yang dibaik pulih kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dengan menegaskan langkah itu mengambil kira kekangan dana tanpa menjejaskan program lain yang sedang berjalan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, pemberian komputer baharu akan menelan kos besar sekali gus menyekat MITRA daripada melaksanakan pelbagai inisiatif lain untuk komuniti India.
"Kenapa persoalkan komputer riba refurbished? MITRA bukan Kementerian Pendidikan atau Kementerian Digital.
"Kita perlu bertindak berpatutan dengan dana yang ada. Kalau semua baharu, kos akan terlalu tinggi dan program lain akan terganggu," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas dakwaan kononnya komputer riba yang diagihkan tidak memberi manfaat kepada murid SJKT.
Program bantuan komputer riba MITRA yang bermula 2023 bertujuan mengurangkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar selain mempersiapkan murid SJKT menghadapi pembelajaran abad ke-21.
Menurut Ramanan kesemua 6,000 unit komputer riba yang disediakan melalui program CSR Google sudah diagihkan kepada 520 SJKT sejak tahun lalu dengan jaminan serta pemantauan impak yang menunjukkan maklum balas positif daripada murid, guru dan pentadbir sekolah.
"Pihak pembekal juga menyelesaikan aduan sekolah dari semasa ke semasa. Jadi tidak timbul isu tidak bermanfaat," katanya.
Ramanan turut menjawab kritikan terhadap Program Latihan Penerbangan MITRA bersama Westar Aviation di mana seramai 75 daripada 100 peserta kini menjalani latihan sambil bekerja termasuk dalam bidang penyelenggaraan pesawat, manakala baki 25 lagi akan memulakan latihan pada September ini.
"Kalau ada yang masih ragu-ragu, saya boleh kemukakan senarai nama peserta supaya isu ini tidak lagi dipersoalkan," jelasnya.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, P. Prabakaran menggesa semua pihak berhenti menyebarkan fakta tidak benar serta provokasi yang hanya merugikan masyarakat India.
Comentarios