MITI perkukuh Malaysia hab global, wujud 245 ribu peluang kerja
- Sidiqin Omar

- 6 hours ago
- 2 min read

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memainkan peranan penting dalam merancakkan penciptaan peluang pekerjaan dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa, sejajar aspirasi negara untuk muncul sebagai hab logistik dan pelaburan strategik di Asia.
Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin berkata, peningkatan pelaburan asing dan domestik telah memberi impak langsung kepada pertumbuhan peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi.
Menurut beliau, bagi tahun 2025 sahaja, jumlah pelaburan yang diluluskan mencecah RM426 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 245,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
"Ini menunjukkan peningkatan konsisten dalam pasaran buruh negara. Peluang pekerjaan di Malaysia sangat mencukupi, semakin meningkat dan kekal kukuh hasil kemasukan pelaburan yang berterusan.
"Dibandingkan dengan negara jiran yang menghadapi masalah kurang peluang pekerjaan, sebaliknya Malaysia memiliki peluang kerja yang meluas," katanya dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata kadar pengangguran Malaysia kekal rendah sekitar 2.9 peratus, jauh di bawah paras ‘full employment’ yang lazimnya dianggarkan sekitar empat peratus, sekali gus mencerminkan keadaan pasaran kerja yang sihat.
Memetik Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Survei Tenaga Buruh, pada November 2025 mencatatkan penurunan ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun apabila berada pada 2.9 peratus, jumlah dengan tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.61 juta orang.
"Dengan kadar pengangguran sekitar 2.9 peratus, ini bermaksud Malaysia hampir mencapai guna tenaga penuh. Sesiapa yang mahu bekerja, peluang itu tersedia," katanya.
Dalam pada itu, Sim menegaskan bahawa daya saing Malaysia sebagai hab logistik dan pelaburan antarabangsa terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif MITI untuk meningkatkan nilai industri tempatan.
Menurut laporan media ekonomi serantau, Malaysia kekal antara destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara, disokong oleh infrastruktur logistik yang mantap serta kedudukan strategik di laluan perdagangan global.
Terdahulu, dalam Indeks Peluang Global 2026 dikeluarkan oleh Milken Institute menyatakan, Malaysia berada di kedudukan tertinggi di rantau ini dan ke-23 di peringkat global, disokong oleh institusi yang kukuh dan asas ekonomi yang teguh.
Selain itu Malaysia berada di kedudukan ke-17 dalam Perkhidmatan Kewangan dan ke-18 dalam Persepsi Perniagaan di peringkat global.
Justeru kata Sim, MITI kini akan turut memberi tumpuan untuk meningkatkan daya saing industri dengan mengalih fokus daripada aktiviti pembuatan bernilai rendah kepada segmen bernilai tinggi.
"Sebagai contoh, industri semikonduktor negara kini tidak lagi hanya tertumpu kepada aktiviti pemasangan dan ujian (back-end), sebaliknya mula beralih kepada reka bentuk cip atau IC design yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
"Dulu kita hanya terlibat dalam pemasangan cip, tetapi kini kita sedang membangunkan keupayaan untuk merekabentuk cip sendiri melalui penubuhan syarikat IC design," katanya.
Ahli parlimen Bayan Baru itu berkata, setakat ini kira-kira 30 syarikat tempatan telah mula menceburi bidang reka bentuk cip, sekali gus membuka peluang kepada jurutera tempatan untuk terlibat dalam rantaian nilai global berteknologi tinggi.
"Langkah ini penting kerana aktiviti reka bentuk mempunyai nilai ekonomi yang jauh lebih tinggi dan mampu meningkatkan pendapatan serta daya saing negara," ujarnya.
Tambah beliau, MITI turut menyasarkan pembangunan 3,000 kilang pintar menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan produktiviti industri dan menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi.
"Usaha ini akan memastikan Malaysia terus relevan sebagai hab logistik dan pelaburan antarabangsa, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat," katanya lagi.




Comments