Miskin tegar: Inisiatif Sejahtera MADANI kumpul sumbangan RM120 juta
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) yang dilancarkan hari ini bagi menoktahkan kemiskinan berjaya mengumpul dana hampir RM120 juta sekali gus melepasi sasaran asal RM100 juta, demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sumbangan tanggungjawab sosial (CSR) itu akan disalurkan terus ke ke Tabung Kesejahteraan Rakyat dengan ianya layak mendapat potongan cukai pendapatan.
"… sambutan (insiatif Sejahtera MADANI cecah) hampir RM120 juta. Ini projek yang baik dan kita ingin pacu negara ini sebagai negara gagah dan hebat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu di Putrajaya hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar dalam ucapan beliau mengulangi tekad pentadbirannya untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini menerusi pelbagai usaha bersama serta pendekatan strategik.
Terdahulu sebanyak 38 syarikat korporat menyumbang kepada Tabung Kesejahteraan Rakyat dengan nilai keseluruhan hampir RM120 juta dengan Weststar Group menyumbang RM15 juta, diikuti RM10 juta masing-masing oleh YTL Corporation Bhd, Berjaya Corporation Bhd, MMC Corporation Bhd, Genting Bhd, DRB-Hicom Bhd, Tradewinds Group (M) Sdn Bhd/Yayasan AlBukhary.
Penyumbang lain termasuk Sapura Secured Technologies (RM3 juta) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (RM2.61 juta).
Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB), Peninsular Medical Sdn Bhd, Yinson Holdings Bhd, WCT Bhd dan Westports Malaysia Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM1 juta.
Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, SD Guthrie Bhd, Cypark Resources Bhd, ITMAX System Bhd dan Nirvana Memorial Park Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM500,000.
Penyumbang lain termasuk Fortress Mining Sdn Bhd (RM300,000), Belati Wangsa (M) Sdn Bhd (RM250,000) manakala Petrolife Aero Sdn Bhd, WZR Property Sdn Bhd dan AWC Bhd masing-masing menyumbang RM200,000.
FGV Holdings Bhd (RM150,000), Darul Fikir, Farm Fresh Bhd, Pharmaniaga Bhd dan YHA Travel and Tours (M) Sdn Bhd masing-masing RM100,000.
Telekom Malaysia (TM) menyumbang Program Keusahawanan Digital bernilai RM10 juta, Grab Malaysia menawarkan Inisiatif Pemerkasaan Ekonomi bernilai RM5 juta dan Prudential BSN Takaful menawarkan Microtakaful Jariyah (MTJ) bernilai RM3 juta.
Petronas dan Khazanah Nasional Bhd merupakan Rakan Strategik Sejahtera MADANI, dengan kesemua sumbangan akan dimanfaatkan di bawah Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah seliaan ICU JPM.
Program Sejahtera MADANI ialah satu inisiatif nasional yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam Sistem eKasih.
Program ini menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi memangkas kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.
Sehingga 15 Julai lalu, seramai 306,403 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan di dalam Sistem eKasih seluruh negara dengan pecahan Miskin Tegar seramai 1,017 KIR dan Miskin seramai 305,386 KIR.
Kerajaan menyasarkan 33% penyusutan miskin pada tahun ini, kata ICU JPM.









Comments