'Miskin bukan fitrah, Islam galak usaha baiki taraf hidup'
- Suara Keadilan

- Aug 6
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Usaha membasmi kemiskinan adalah selari dengan ajaran Islam dan bukan bercanggah dengan fitrah manusia, demikian tegas Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata usaha tersebut juga menepati maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, akal, harta dan keturunan.
"Dalam Islam, kemiskinan bukanlah satu keadaan yang harus dibiarkan berterusan. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berdoa agar dijauhkan daripada kefakiran kerana ia boleh membawa kepada kekufuran," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Mahfuz urut mengingatkan bahawa Islam menggalakkan usaha memperbaiki taraf hidup melalui pelbagai instrumen seperti zakat, wakaf dan sedekah.
Malah jelas beliau sejarah Islam memperlihatkan kejayaan membasmi kemiskinan semasa pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang dianggap antara pencapaian terhebat dalam sejarah pemerintahan Islam.
"Kalau kita terima kemiskinan sebagai sesuatu yang kekal, tentu sekali tiada keperluan untuk zakat dan sedekah. Sebaliknya, Islam mengangkat nilai usaha, ketekunan dan keadilan dalam agihan sumber," ujarnya.
Dalam hal ini kata beliau rakyat tidak meminta kemewahan sebaliknya mengharapkan peluang dan keadilan.
"Inilah asas kepada usaha kerajaan yang mahu memastikan tiada golongan yang terus terpinggir," katanya.
Beliau menyeru agar semua pihak termasuk pemimpin politik memahami bahawa membela nasib golongan miskin adalah sebahagian daripada amanah kepimpinan dan jihad sosial yang dituntut dalam Islam.
"Kita tidak harus menyamakan kemiskinan dengan takdir yang kekal. Islam membuka ruang untuk perubahan dan kemajuan, selagi ada usaha dan iltizam," jelasnya.
Sebelum ini, dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyuarakan pandangan bahawa kemiskinan merupakan sebahagian daripada fitrah manusia yang mengundang pelbagai reaksi termasuk perbincangan lanjut mengenai dasar membasmi kemiskinan tegar.









Comments