Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) semalam mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) mempunyai misi besar dalam dalam usaha menarik pelaburan asing, perkukuh kerjasama ekonomi dan tidak ketinggalan menyuarakan isu keganasan Israel di Palestin.
"Dalam Persidangan ini, saya akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi, memantap kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua.
"Ia juga merupakan peluang terbaik negara untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai kedudukan ekonomi global semasa dan mendengar serta memberi pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan-usahawan dan para pemimpin APEC.
"Ruangan ini juga akan saya gunakan bagi mengetengahkan keadaan serta penderitaan yang menimpa warga Palestin saat ini. Juga meraih dukungan global, merangkul serta memperhebat usaha mempermudah akses dan bantuan kemanusiaan serta penyelesaian yang adil," katanya dalam catatan di Facebook.
Selain itu, kata PM, beliau turut dijadualkan untuk menyampaikan pidato umum berjudul “Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia” di Universiti California, Berkeley sebelum berangkat pulang ke Malaysia.
Commenti