top of page

Minyak murah jika tidak dieksport: Penggunaan domestik sekali ganda pengeluaran

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 days ago
  • 2 min read

Hujah penyokong pembangkang mendakwa Malaysia mampu menawarkan harga minyak lebih murah kerana mempunyai pengeluaran sendiri mencerminkan kegagalan memahami asas ekonomi bahan api.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nabil Halimi, berkata minyak mentah Malaysia berkualiti tinggi dan rendah kandungan sulfur kurang sesuai digunakan sebagai bahan api kenderaan biasa.


Katanya, petroleum keluaran Malaysia lebih sesuai digunakan untuk industri bernilai tinggi seperti bahan api kapal terbang dan petrokimia.


"Sebab itu negara memilih untuk menjualnya pada harga pasaran global, dan mengimport minyak yang lebih murah untuk kegunaan domestik. Kesannya Petronas akan ada margin untung, jual mahal dan beli murah.

Nabil Halimi
Nabil Halimi

"Cadangan untuk menggunakan sepenuhnya minyak tempatan bukanlah penyelesaian segera kerana memerlukan perubahan besar kepada infrastruktur penapisan dan sistem bekalan, yang mana pada waktu ini lebih terarah kepada industri berkualiti tinggi.


"Infrastruktur kita sedia ada lebih (tertumpu) kepada pengeluaran, pemprosesan dan penghasilan minyak bagi tiga industri utama yang saya sebutkan tadi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas sama ada wajar hujah penyokong pembangkang yang mendakwa harga minyak Malaysia akan kebih murah sekiranya petroleum yang dilombong tidak dieksport, sedangkan negara hanya mengeluarkan kurang daripada 500,000 tong sehari berbanding penggunaan domestik sekitar 800,000 tong sehari.


Menurut Nabil lagi, dalam situasi krisis global seperti konflik di Selat Hormuz yang menjejaskan bekalan dunia, retorik populis sedemikian jelas tidak realistik dan tidak dapat dilaksanakan.


"Saya faham pada saat ini pembangkang ingin bermain retorik ucapan Datuk Seri Anwar pada 2008 (ketika negara menghasilkan 750,000 tong sehari), tapi jangan lupa ketika itu Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak, iaitu pengeluaran melebihi penggunaan domestik.


"Sekarang situasinya berubah apabila penggunaan kita semakin bertambah dan pengeluaran semakin mengecil.


"Jangan lupa mereka juga, terutamanya Pas menjanjikan perkara yang sama sewaktu bersama Pakatan Rakyat (sebelum berpisah pada 2014). Kenapa dahulu mereka sokong?" soal beliau.


Ubtuk rekod, fakta kempen menjelang pilihan raya umum (PRU) 2008 yang mana Datuk Seri Anwar berjanji akan menurunkan harga RON95 RM1.70 kembali diungkit laskar siber pembangkang pada waktu harga RON95 tanpa subsidi mencecah RM4.00 seliter.


Sedangkan, hakikatnya selepas PRU 2008 itu Anwar tidak pernah lagi berjanji untuk menurunkan harga minyak kerana sedar pengeluaran petroleum negara semakin menurun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page