Minyak Malaysia sesuai untuk kegunaan kapal terbang, petrokimia
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa Malaysia boleh menikmati harga petrol lebih murah hanya dengan menggunakan sepenuhnya minyak keluaran sendiri disifatkan sebagai tidak berasas.
Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menjelaskan hal ini kerana sistem industri minyak negara telah lama dibangunkan untuk pasaran eksport dan kegunaan sektor strategik seperti penerbangan, perkapalan dan petrokimia kerana petroleum Malaysia rendah sulfur.
"Jangan jadi tak tahu benda yang patut jadi pengetahuan asas. Minyak Malaysia tidak dikeluarkan sepenuhnya untuk kegunaan minyak tempatan. Minyak kita berkualiti tinggi.
"Kita keluarkan untuk industri penerbangan, perkapalan dan petrokimia. Kita jual kepada pasaran antarabangsa. Jadi kita keluarkan minyak kita yang mahal, kita beli minyak murah daripada negara Arab. Maka itu, Petronas ada margin untung.
"Nak tukar (sistem) itu tak bolehlah. Bukan mudah kita nak tukar terowong minyak kita yang pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pengisian minyak kapal terbang (jadi kegunaan kenderaan biasa).
"Kita (juga) hantar (minyak) sampai ke Melaka untuk menghasilkan minyak petrokimia. Tak bolehlah satu hari (tiba-tiba nak) tukar kerana trend ini sudah berpuluh tahun," katanya dalam satu siaran video di platform media sosial.
Zainal yang juga mantan wartawan berpengaruh berkata, Malaysia merupakan pengeluar minyak yang kecil di peringkat global dan bukan penentu utama pasaran, dengan pengeluaran jauh lebih rendah berbanding negara Teluk yang menguasai sekitar 20% dan Iran kira-kira 4.5% pasaran dunia.
Ujarnya, keuntungan PETRONAS sekitar RM45 bilion mencerminkan skala sebenar industri minyak negara.
"Jadi tuan-tuan kena faham, minyak yang kita ada kalau kita kata jual untuk orang tempatan, (ia) tak boleh (dijual) (kerana) sistem (sedia ada) itu kita nak kena ubah.
"Sebab sistem kita (ialah) mengeluarkan minyak, memproses dan meghantar untuk (kegunaan) tiga industri iaitu penerbangan, perkapalan dan petrokimia.
"Jadi tuan-tuan ingat minyak itu boleh ‘convert’ dan hantar ke stesen minyak balik? Tak boleh (macam itu), (nanti) terencat segala bentuk perjalanan ekonomi yang kita telah bina berpuluh-puluh tahun dalam industri minyak kita," jelas beliau lagi.
Sebelum ini, laskar siber pro pembangkang sering membayangkan Malaysia merupakan negara pengeluar minyak dan sepatutnya harga minyak semurah Brunei tanpa perlu membeli minyak dari negara Teluk.
Hakikatnya, Malaysia mengimport hampir 50% minyak kegunaan domestik dan 40% datang dari rantau Asia Barat.




Comments