Minggu Solidariti Palestin perlu dipantau KPM - Roland Engan


Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah sekolah atas saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya dipantau bagi mengelakkan unsur yang tidak wajar dibawa atau mempengaruhi para pelajar.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, sekolah seharusnya melakukan program yang tidak bertentangan dengan nilai murni atau nilai Madani dan tidak terpengaruh ke arah yang bertentangan dengan budaya tempatan.
Apatah lagi, katanya, sekolah di Sarawak yang banyak kalangan pelajarnya bukan muslim.
"KEADILAN Sarawak yakin dengan KPM yang sedaya upaya memacu dan membimbing pelajar untuk fokus pada nilai keadilan, keamanan dan kemanusiaan sejagat dalam program Solidariti Palestin.
"Langkah KPM ini bertujuan mempertahankan nilai Malaysia Madani dalam menghadapi bahang kebencian, permusuhan, perpecahan dan pembunuhan dalam peperangan, seperti yang berlaku di Palestin sekarang.
"KEADILAN Sarawak difahamkan program Solidariti Palestin ini adalah tidak wajib khususnya di Sarawak.
"Maka adalah mustahak untuk semua pihak bekerjasama dengan KPM agar program Solidariti Palestin tersebut bermanfaat untuk pelajar melalui pematuhan panduan ketat yang ditetapkan oleh KPM," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Roland Engan juga mahu KPM mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat mana mana sekolah yang melakukan program berkenaan secara terpisah dan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
"KEADILAN Sarawak menuntut pihak KPM mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak di bawah bidangkuasa KPM yang gagal mematuhi panduan yang ditetapkan.
"Juga, peranan ibu bapa perlu untuk membimbing pelajar dalam respons pada konflik antarabangsa dengan cara yang benar dan tertib, dan ini ditekankan oleh KEADILAN Sarawak," katanya lagi.
Terdahulu, tular berita sebuah sekolah mengambil inisiatif menganjurkan program solidariti sebelum tarikh yang disarankan oleh KPM iaitu pada 29 Okt hingga 3 Nov, dan dengan menggunakan pendekatan menggalakkan murid membawa senjata mainan dari rumah sebagai sebahagian daripada pengisian program.
Sebaliknya KPM dalam kenyataan semalam, menggalakkan penganjuran aktiviti Minggu Solidariti Palestin itu dengan mendokong isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin sepanjang pelaksanaannya.




Comments