MINDEF rampas RM53.9 juta bon, pastikan denda lewat dikutip
- Suara Keadilan
- Jul 24
- 2 min read

Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil tindakan untuk merampas sejumlah RM53.9 juta bon pelaksanaan bagi memastikan kerajaan mendapat perolehan denda lewat RM162.75 juta yang dikenakan terhadap sebuah firma pembekalan 68 unit kenderaan perisai antara tahun 2020 sehingga 2023.
Timbalan Menterinya Adly Zahari (gambar) memberitahu Dewan Rakyat, kementerian itu juga menggunakan kaedah "set-off" untuk mendapatkan balik baki denda lewat itu sebanyak RM108.8 juta memandangkan syarikat tersebut turut mendapat kontrak pembekalan yang lain.
"Pertama adalah jaminan bank sebanyak RM53.9 juta. Memang kita pada 25 Jun lalu, kita sudah mengarahkan pihak bank untuk memastikan bahawa jumlah RM53.9 juta itu akan kita rampas untuk kepentingan kementerian dan mendapatkan baki denda lewat sebanyak RM108,825,795 melalui set-off," katanya dipetik ketika menggulung sesi perbahasan Laporan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 semalam.
Terdahulu Adly berkata, kementerian telah mengeluarkan notis tuntutan denda lewat berjumlah RM162.75 juta pada Januari lalu kepada sebuah firma yang sepatutnya menghantar 68 unit kenderaan perisai antara tahun 2020 sehingga 2023.
Beliau memberitahu syarikat berkenaan, Detech pada Januari lalu mengemukakan balas supaya denda lewat tersebut diketepikan atas alasan isu "forcre majeure" akibat pandemik Covid-19 dan perang Ukraine-Rusia.
"Rayuan syarikat ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Contract Coordination Panel (CCP) pada 6 Mei lalu dan diputuskan syarikat ini dikenakan tuntutan denda berjumlah RM162,754,365.95.
"Kedua, bon pelaksanaan berjumlah RM53,928,571.43 dan baki nilai denda akan dituntut secara set-off iaitu melalui kontrak semasa atau kutipan secara berasingan daripada pihak syarikat,"
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam laporannya menyebut antara penemuan utama adalah kegagalan kerajaan mengutip denda kelewatan bernilai RM162.75 juta daripada syarikat utama yang membekalkan kenderaan perisai 8×8 GEMPITA, walaupun kontrak telah tamat sejak Disember 2022.
Adly berkata kelewatan penghantaran turut melibatkan kontrak perkhidmatan senggaraan sebanyak RM1.42 juta dan pembekalan alat ganti serta perolehan berjumlah RM107 juta yang dilaksanakan secara pecah kecil.
Beliau menjelaskan syarikat berkenaan mempunyai kontrak-kontrak lain di Kementerian Pertahanan yang mana jumlahnya lebih besar daripada tuntutan denda lewat itu.
"Jadi, dengan kaedah itu [set-off] kita boleh mendapatkan kembali denda lewat itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Adly berkata kementerian mengakui tentang kelemahan penguatkuasaan terma kontrak ini dan ia kini dalam proses membangunkan sistem pemantauan kontrak.
"[Ia] untuk membantu para pegawai kita memantau kontrak-kontrak supaya walaupun kita memberikan EOT [pelanjutan masa], tidaklah kita ambil denda lewat itu sehingga projek itu ditamatkan," ujarnya.
Mengenai denda lewat RM1.4 juta membabitkan kereta perisai GEMPITA, ADNAN dan juga PENDEKAR, notis denda lewat yang berakhir pada Mei lali sebenarnya sebanyak RM4.3 juta.
"Kita tahu bahawa kontrak-kontrak ini masih diwujudkan. Jadi, saya fikir itu tidak jadi masalah untuk mengenakan denda lewat kepada kontraktor ini," katanya.
Bagaimanapun jelasnya persoalan itu turut melibatkan perolehan pecah kecil aset strategik kenderaan perisai Tentera Darat di mana kontrak perolehan membekal dan menghantar alat ganti kenderaan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) berkuat kuasa pada 27 Februari 2024 hingga 26 Februari 2027 dengan nilai kontrak RM22 juta.
"Sebab itu, kadang-kadang kita lihat keperluan-keperluan untuk kita melaksanakan sebut harga untuk pastikan bahawa aset-aset kita ini dapat berfungsi untuk kita melaksanakan tugas-tugas menjaga kedaulatan dan juga keamanan negara," ujarnya.
Comments