MINDEF perkasa pengkalan data, bela kebajikan veteran


Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkasakan sistem pangkalan data baharu Vibes 2.0 Go Live dalam usaha memastikan kebajikan veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbela.
Menurut Timbalan Menterinya, Adly Zahari kementerian sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian kepada isu disuarakan veteran yang bukan sekadar melibatkan pencen, tetapi membabitkan isu kesihatan dan pendidikan anak-anak veteran.
Jelasnya, Vibes 2.0 yang diperkasa dijangka bakal memberikan manfaat kepada lebih 200,000 veteran ATM dan waris meliputi urusan pengurusan, pemantauan dan pelaporan maklumat yang lebih berkesan dan berintegriti.
"Jadi sebab itu di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), kita tingkatkan sistem data supaya data kita tepat tentang kedudukan veteran sedia ada.
"Jadi saya fikir di MINDEF, kita harus lihat program jangka panjang untuk veteran bukan sahaja sedia ada tetapi mereka yang akan menjadi veteran. Lebih baik kita selesaikan secara menyeluruh (isu melibatkan veteran)," katanya.
Adly berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Vibes 2.0 Go Live di Wisma Perwira ATM, di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara itu ketika mengulas gesaan supaya kerajaan segera menyelesaikan isu penyelarasan pencen veteran ATM, Adly berkata MINDEF mengadakan pertemuan dengan semua persatuan induk bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menurut beliau, ia penting bagi menyelesaikan isu yang disifatkan sudah berlarutan lebih 10 tahun itu.




Comments