top of page

Mindef jamin keselamatan anggota bongkar sindiket dadah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
22 hours ago
1 min read
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari. Foto: Bernama
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari. Foto: Bernama

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota tentera yang terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah di Pangkalan Udara Subang, sebagaimana yang didedahkan baru-baru ini.


Pada masa sama, kementeriannya turut memberi keutamaan dalam memastikan keselamatan anggota yang berjaya mengesan penemuan bahan terlarang tersebut terjamin.


Bercakap di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan telah mengambil langkah dalaman bagi menangani isu integriti dalam organisasi ketenteraan, selain terus komited memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes berkenaan.


"Kita bukan sahaja melihat prosedur yang kita ada, tetapi penilaian kita juga buat masa ini adalah untuk menjaga keselamatan anggota kita yang bertindak melakukan tangkapan ini dan memberikan kerjasama kepada pihak PDRM.


"Sepertimana yang selalu kita sebut dalam soal integriti kita ataupun perkara yang terkait dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah ini, kita tidak pernah bertolak ansur," katanya dipetik laporan media.


Minggu lalu, polis membongkar sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan.


Susulan itu 13 individu ditahan berhubung penemuan 96.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu (methamphetamine) bernilai RM4.83 juta dadah.


Tujuh daripadanya merupakan pegawai dan anggota TUDM terdiri daripada tiga kapten, dua leftenan, seorang pegawai waran udara II dan seorang koperal udara.


Adly sementara itu menegaskan,selain siasatan jawatankuasa peringkat dalaman, kementerian akan memberi laluan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci tanpa berlakunya kebocoran maklumat agar jaringan sindiket dadah berkenaan dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page