Minat pelajar ke aliran STEM perlu diperkukuh semula - Dr Dzulkefly
- Suara Keadilan
- Apr 26
- 1 min read

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berharap usaha dapat ditingkatkan bagi menarik semula minat pelajar kepada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sebagai mengulas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, beliau berkata minat pelajar kepada aliran itu dilihat semakin menurun sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan negara pada masa depan.
"Saya memerhatikan 14,000 pelajar memperoleh keputusan cemerlang semua A, namun minat terhadap STEM (Aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menyaksikan sedikit penurunan.
"Saya sedikit bimbang kerana (STEM) merupakan aliran sains yang akan menjadi ‘supply pipeline’ (laluan) kepada pelajar untuk mengambil jurusan perubatan," katanya selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu pada Jumaat.
Mengulas lanjut beliau menegaskan penting untuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan lebih proaktif dalam menyuntik motivasi dan semangat kepada pelajar untuk menjadikan aliran STEM sebagai pilihan mereka.
Beliau turut menyatakan komitmen kementeriannya untuk memastikan hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan pegawai kesihatan kekal mampan dan mampu menarik minat generasi muda.
"Ini amat penting bagi memastikan isu berkaitan sumber manusia di Kementerian Kesihatan (KKM) dapat ditangani secara berkesan," tambahnya.
Sementara itu Dr Dzulkefly turut membuat seruan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang memperoleh keputusan A penuh (‘straight’ A) agar menyambung jurusan perubatan di peringkat universiti.
Comments