
Isu dana pembangunan masyarakat India seperti MAIKA, MIED dan sebagainya tidak akan selesai selagi tidak dilakukan forensik audit untuk mengetahui ke manakah peruntukan tersebut pergi selepas diluluskan oleh kerajaan.
Bagi Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam, cadangan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim agar forensik audit dilakukan untuk mengetahui jejak kewangan dana itu tidak wajar dibalas oleh Presiden MIC dengan cabaran untuk mengaudit janji manifesto Pakatan Harapan (PH) terhadap kaum India sama ada telah dilaksanakan.
Kata Thiban, hal itu merupakan dua perkara berbeza. Dana bantuan adalah wang negara yang telah pun dibelanjakan tetapi janji PH hanyalah janji tanpa melibatkan kewangan.
"Datuk Seri Anwar telah menegaskan bahawa dana kerajaan yang diperuntukkan kepada masyarakat India harus diagih secara telus dan membantu kaum India yang miskin, bukannya proksi. Ini menyebabkan MIC tidak senang dan membuat serangan terhadap Anwar yang bercakap tentang peningkatan status sosioekonomi kaum India Malaysia.
"Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran sebaliknya mahu Anwar mengaudit janji PH PRU 14 kepada kaum India, mengatakan Anwar telah gagal memenuhi manifesto pilihan raya. Kedengaran kebudak-budakan apabila Presiden MIC cuba mengalihkan isu untuk menutup skandal yang melibatkan MIC.
"Vigneswaran sepatutnya faham Anwar bukan Perdana Menteri semasa PH. Kedua, kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan dan kemudiannya digulingkan dengan bantuan MIC juga. Banyak pembaharuan tidak berjaya kerana pengkhianatan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Thiban, audit ke atas dana yang telah dikeluarkan sepatutnya didahulukan kerana pertikaiannya telah beralarutan sejak berdekad dekad dan mampu membersihkan MIC sekiranya audit itu dilakukan
"Dalam hal ini Vigeswaran sepatutnya berterima kasih kepada Anwar Ibrahim atas komitmennya menjalankan audit forensik ke atas MAIKA, MIED, dan Mitra daripada mengalihkan kesalahan. Bukan sahaja audit forensik malah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga perlu dijalankan secepat mungkin bagi membersihkan nama bekas Preisden MIC Tun Samy Vellu yang sering dikaitkan dengan skandal berkenaan.
"KEADILAN sedia membantu MIC dan Vigneswaran untuk menggesa kerajaan menubuhkan RCI di Maika dan MIED," katanya.
Mengenai janji manifesto PH kepada masyarakat India yang mungkin ditimbulkan sementelah hampir musim pilihan raya, Thiban berkata, ada beberapa janji yang telah dimulakan pelaksanannya pada waktu pemerintahan 22 bulan PH, namun tidak diketahui nasib seterusnya di tangan kerajaan PN sebelum ini dan BN pada hari ini.
"Perlu diambil perhatian PH berjaya menetapkan langkah khas untuk menyelesaikan isu Kad Pengenalan Merah dalam tempoh 100 hari, di mana kerajaan PH mengumumkan warga emas berumur 60 tahun ke atas akan diberi kerakyatan.
"Selepas kejatuhan kerajaan PH, kita tidak tahu tentang isu kad pengenalan ini. MIC sibuk berpolitik dan mengadakan perhimpunan dan acara yang lebih besar tetapi kaum India yang miskin masih bergelut ke Jabatan Pendafaran Negara hanya untuk mendapatkan kerakyatan," katanya lagi.