top of page

Meta gagal banteras sepenuhnya jenayah dalam talian di plaformnya - Fahmi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 22
  • 2 min read

Datuk Fahmi bertemu pengurusan Meta dan mengadakan perbincangan di pejabat MCMC di Cyberjaya
Datuk Fahmi bertemu pengurusan Meta dan mengadakan perbincangan di pejabat MCMC di Cyberjaya

Oleh: Helmi Foad


Syarikat Meta gagal membanteras sepenuhnya aktiviti jenayah dalam talian di platform kendaliannya, khususnya Facebook, meskipun jumlah aduan yang diterima amat tinggi.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, setakat 19 September lalu sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada Meta dengan Facebook sahaja merangkumi 59 peratus daripada keseluruhan aduan berkaitan media sosial.


"Daripada jumlah itu, 120,127 adalah berkaitan aktiviti judi dalam talian dengan 114,665 kandungan diturunkan.


"Namun masih ada 37,722 permohonan yang tidak dipenuhi. Selebihnya melibatkan kandungan palsu, 3R (agama, kaum, institusi diraja), penjualan produk terlarang termasuk rokok elektronik mengandungi dadah serta penipuan scam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu Fahmi mengadakan pertemuan dengan pengurusan Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.


Ia turut disertai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).


Pertemuan itu memberi tumpuan kepada isu kritikal seperti perjudian dalam talian, penipuan, berita palsu, kandungan 3R dan penjualan produk terlarang.


Menurut statistik JSJK PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform utama Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp telah menyebabkan kerugian kepada rakyat Malaysia mencecah RM248 juta dari Januari hingga Ogos 2025.


Fahmi berkata, kegagalan Meta menangani isu tersebut memberi kesan besar kepada keselamatan siber negara dan kesejahteraan rakyat selain menunjukkan syarikat itu masih belum mengutamakan perlindungan pengguna.


"Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital.


"Meta serta semua penyedia platform media sosial wajib memikul tanggungjawab lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang segera diturunkan," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page