top of page

Mesyuarat tergempar Pas: “Banyak bunyi, tiada tindakan” - Lokman

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 27
  • 2 min read

Mesyuarat tergempar Pas yang diadakan kelmarin susulan ketegangan dengan Bersatu berakhir tanpa sebarang keputusan konkrit, sekali gus mengundang kritikan terhadap kepimpinan parti itu.


Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar), dalam satu kenyataan menyifatkan hasil mesyuarat tersebut sebagai hambar dan tidak memenuhi jangkaan ramai.


Menurut beliau, selepas beberapa hari mengeluarkan amaran keras terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pimpinan Pas dilihat tiba-tiba mengambil pendekatan berdiam diri sebaik sahaja mesyuarat tertutup diadakan.


"Mesyuarat tergempar Pas berakhir tepat seperti yang dijangka ramai. Banyak bunyi, tiada tindakan," katanya sinis.


Beliau juga mendakwa Pas kini berdepan dilema antara retorik dan realiti apabila parti itu lantang menuduh Bersatu mengkhianati kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) namun gagal membuat keputusan tegas apabila diperlukan.


"Itu bukan kekuatan. Itu keraguan politik," tegasnya.


Dalam masa sama, Lokman merujuk kepada kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mengemukakan beberapa tuduhan serius terhadap Bersatu, termasuk menghalang peluasan gabungan dan mengabaikan perjanjian.


Kontroversi pelantikan Menteri Besar Perlis juga, katanya, dijadikan bukti kononnya wujud ketidakjujuran dalam kalangan rakan gabungan tersebut.


Namun beliau mempersoalkan kegagalan Pas untuk bertindak sekiranya tuduhan tersebut benar.


"Jika tuduhan-tuduhan itu benar, mengapa Pas masih berlengah?" katanya.


Menurut Lokman, situasi itu menggambarkan Pas seolah-olah terperangkap dalam hubungan politik yang tidak lagi dipercayai, tetapi tidak berani untuk ditamatkan.


Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengkritik Bersatu yang didakwa terus mengamalkan pendekatan politik berasaskan kawalan dan dominasi, menjadikan hubungan kedua-dua parti itu semakin rapuh.


"Gabungan ini tidak pernah dibina atas asas saling hormat-menghormati, tetapi atas keperluan sementara dan desakan pilihan raya," katanya lagi.


Tambahnya, keadaan itu menyebabkan Pas dan Bersatu kini dilihat seperti “kembar toksik” yang saling menyerang secara terbuka, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap gabungan tersebut.


Lokman turut menegaskan bahawa pihak yang paling terkesan ialah Perikatan Nasional sendiri, lebih-lebih lagi ketika pilihanraya semakin hampir.


"Pengundi diharapkan untuk mempercayai pemimpin yang jelas tidak lagi saling mempercayai," sinisnya.


Mengulas lanjut, beliau menyifatkan situasi selepas mesyuarat khas itu sebagai bukti jelas kelemahan kepimpinan Pas.


"Tuduhan lantang sebelum mesyuarat. Kesunyian memekakkan selepas mesyuarat. Pas mahu meraih keuntungan politik dengan menyerang Bersatu tanpa memikul keberanian dan akibat membuat keputusan muktamad. Itu bukan kepimpinan. Itu kebuntuan politik yang disolek sebagai strategi," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Pas tidak terus mengkritik pihak lain termasuk UMNO, sebaliknya menilai kelemahan sendiri terlebih dahulu.


Untuk rekod, Pas mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin bagi membincangkan isu berkaitan Perikatan Nasional termasuk masa depan parti itu bersama rakan komponennya, Bersatu.


Dikatakan mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Pas, Hj Hadi Awang, di Kuala Terengganu, membabitkan kepimpinan tertinggi termasuk Biro Politik Pas dan Jawatankuasa Pas Pusat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page