
Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini membincangkan 3 perkara utama dalam kerangka untuk meringankan beban kos hidup rakyat.
Menurut Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 3 ketas kerja telah dibincangkan dan melibatkan 3 kementerian.
"Sebanyak 3 kertas telah dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL hari ini yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
"Laporan-laporan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat ini, menurut kenyataan itu merupakan lanjutan mesyuarat khas dua minggu lalu yang memberi arahan kepada beberapa kementerian untuk membentangkan kertas kerja komprehensif menangani isu beban hidup rakyat setelah mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang terlibat.
Anwar berpendapat, negara mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat bagi menopang kumpulan B40, M40 serta peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.
"Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10% dari angka itu, yakni 1 juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih dari 50% subsidi elektrik.
"Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambilkira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini," katanya.
Selain itu, PM berkata Kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.
Ujarnya, sektor penternakan negara telah lama mencapai tahap yang mampan dalam sesetengah bidang untuk memenuhi permintaan tempatan, dan berupaya juga untuk mengeksport.
"(Dalam hal ini) Kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri berkenaan untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup bagi keperluan rakyat dan hal itu termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan," katanya.
Berkenaan isu bekalan barang keperluan harian yang turut menjadi tumpuan mesyuarat kerana berlaku kekurangan bekalan sejak pemerintahan yang lalu, campurtangan kerajaan dicadangkan bagi memperbaiki keadaan.
"Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campurtangan kerajaan di peringkat pengguna.
"Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan. Perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok," katanya lagi.