Merotai perlu pilih PH demi kestabilan politik, selesai masalah keperluan asas
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 4 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Rakyat Sabah perlu memilih Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan itu menawarkan kestabilan politik, bersih dan berorientasikan penyelesaian masalah.
Calon PH kerusi N.73 Merotai, Datuk Ruji Ubi berkata, perkara tersebut menjadi topik utama bagi jentera PH memberikan penjelasan secara konsisten kepada para pengundi.
Dalam hal ini, PH dengan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) melakukan kerjasama strategik bagi memastikan projek pembangunan di Merotai dapat disampaikan dengan berkesan dan cepat.
"Jentera PH memberi penjelasan secara konsisten bahawa undi PH adalah undi untuk pembangunan Merotai melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan.
"Sinergi dengan BN dan GRS bukan sekadar slogan ia kerjasama strategik untuk memastikan projek pembangunan di Merotai dapat disampaikan dengan lebih cepat dan berkesan. Kita bergabung tenaga sebagai satu pasukan demi rakyat," katanya dalam temubual dengan Suara Keadilan.
Ruji yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, sekiranya diberikan peluang mewakili kawasan DUN tersebut, beliau akan mengutamakan tiga program besar iaitu membuka Pusat Khidmat Rakyat Merotai yang cekap, terbuka dan responsif pada setiap hari.
Kata beliau, pihaknya akan melakukan program ekonomi rakyat antaranya menyalurkan bantuan usahawan, inkubator belia, latihan kemahiran dan penempatan kerja.
"Saya juga akan melaksanakan agenda pendidikan dan komuniti, sokongan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pusat tuisyen rakyat, naik taraf kemudahan kampung," kata beliau penuh azam.
Ikuti temubual penuh bersama Suara Keadilan:
Harapan bawa perubahan di DUN Merotai - Ruji

Meskipun merupakan wajah baharu dalam politik, Datuk Ruji Ubi yang ditampilkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Merotai dilihat mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat di kawasan tersebut.
Anak jati Tawau ini mempunyai pengalaman luas dalam sektor kerajaan termasuk menjadi ketua setiausaha di beberapa kementerian sekali gus memberikan kelebihan kepada beliau untuk mengendali selok-belok pentadbiran.
Malah penglibatannya dalam menjaga rakyat Sabah ketika berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah menjadikannya dekat di hati masyarakat setempat.
SK: Setelah berkempen sejak 15 November lepas, bagaimana saudara melihat sambutan masyarakat setempat dan harapan yang mereka mahukan?
Ruji: Saya melihat sambutan masyarakat Merotai sangat positif. Mereka bukan sekadar hadir di program malah menyuarakan harapan yang jelas mereka mahukan pemimpin yang bekerja, bukan sekadar berjanji.
Rakyat mahu pembangunan yang lebih tersusun, peluang ekonomi yang adil dan penyelesaian segera terhadap isu asas seperti infrastruktur, kemudahan pendidikan, dan kebajikan. Suara rakyat ini memberi semangat kepada saya untuk membawa perubahan yang mereka impikan.
SK: Berdasarkan pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor awam apa tawaran yang boleh diberikan penduduk di Merotai dalam membangunkan bidang ekonomi, pendidikan dan sosial?
Ruji: Berdasarkan pengalaman dalam pentadbiran dan perkhidmatan rakyat, saya menawarkan tiga fokus utama iaitu;
Ekonomi: Memperkasa usahawan kecil, membuka lebih banyak peluang pekerjaan anak muda, dan menarik program latihan industri ke Merotai.
Pendidikan: Memperbaiki kemudahan sekolah, menyokong PIBG serta program pembangunan pelajar termasuk bimbingan akademik, TVET dan bantuan pelajar miskin.
Sosial: Mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, menaik taraf balai raya, masjid, rumah ibadat serta memperkukuh peranan belia dan wanita dalam masyarakat.
Semua ini adalah perkara yang realistik dan boleh dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.
SK: Sepanjang kempen, apakah perkara utama yang perlu diberi perhatian di Merotai dan boleh jelaskan secara ringkas manifesto di DUN ini sekiranya PH menang di kawasan ini?
Ruji: Perkara paling penting adalah menyelesaikan isu rakyat yang sudah lama tertangguh infrastruktur asas seperti jalan kampung, air bersih, lampu jalan, peluang ekonomi, dan ruang pembangunan belia.
Dari segi manifesto secara ringkas adalah menaik taraf infrastruktur asas di semua lokaliti termasuk kampung pedalaman.
Kemudian mewujudkan peluang ekonomi baharu melalui program usahawan, pertanian moden dan latihan kemahiran.
Kita mahu menyediakan pendidikan berkualiti dengan sokongan penuh kepada sekolah, PIBG dan program kecemerlangan pelajar.
Perkhidmatan rakyat perlu efektif dengan membuka pusat khidmat rakyat yang beroperasi setiap hari manakala golongan belia dan wanita serta komuniti diberi dana khas pembangunan program setempat.
Ini komitmen yang boleh diukur dan dilaksanakan secara berperingkat jika PH diberi mandat.
SK: Bagaimana jentera PH menyakinkan tentang kepentingan untuk mengundi PH pada kali ini dan bagaimana sinergi yang dilakukan untuk menarik undi melalui kerjasama BN/GRS sebagai rakan kerjasama strategik?
Ruji: PH menawarkan politik yang stabil, bersih dan berorientasikan penyelesaian. Jentera PH memberi penjelasan secara konsisten bahawa undi PH adalah undi untuk pembangunan Merotai melalui kerjasama kerajaan Persekutuan. Sinergi dengan BN dan GRS bukan sekadar slogan [sebaliknya] ia kerjasama strategik untuk memastikan projek pembangunan di Merotai dapat disampaikan dengan lebih cepat dan berkesan. Kita bergabung tenaga sebagai satu pasukan demi rakyat.
SK: Memasuki selekoh terakhir menjelang hari pengundian pada Sabtu ini apakah perkara yang menjadi tumpuan jentera PH?
Ruji: Minggu kedua kempen adalah fasa paling kritikal. Kita melipat ganda acara jelajah dan ziarah rumah ke rumah dengan memberikan fokus kepada pengundi atas pagar, anak muda dan wanita.
Kami melakukan pendekatan dialog dalam komuniti kecil selain menyantuni masyarakat di masjid, gereja, dewan dan pusat komuniti. Selain itu kami mengatur ceramah kelompok yang tidak membebankan rakyat tetapi sarat dengan maklumat. Jentera PH bekerja lebih kuat, lebih teratur dan lebih dekat dengan rakyat kerana setiap undi penting untuk memastikan kemenangan dan masa depan Merotai yang lebih baik.









Comments