Merdekakan wanita daripada keganasan rumah tangga - Fadhlina Siddiq


Walaupun Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan selama 63 tahun, golongan wanita masih belum 'merdeka' dalam beberapa perkara.


Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq berkata segelintir golongan wanita masih lagi menjadi mangsa keganasan rumah tangga.


"Kemerdekaan ini dipertahankan agar wanita dan anak-anak kita tidak lagi dihujani dengan butir peluru dan dipukul oleh tentera asing.


"Namun demikian, pasca enam dekad menyaksikan isu keganasan rumah tangga masih lagi membejat dalam komuniti. Tidak diganasi oleh tentera, tetapi dipukul oleh suami sendiri.


"Laporan terkini pada 30 Ogos lalu dan tular di laman sosial menyaksikan seorang wanita telah dipukul dan dikasari oleh suaminya.


"Suspek yang juga merupakan seorang penganggur telah menyebabkan mangsa hampir jatuh dari kereta dan masih terus memandu di atas jalan raya ketika kejadian," katanya dalam kenyataan.


Fadhlina berpandangan isu keganasan rumah tangga masih berlaku kerana ia berkait rapat dengan isu pengangguran dan ekonomi keluarga.


"Statistik tahun 2019 menunjukkan punca utama keganasan rumah tangga adalah atas faktor individu dan faktor persekitaran.


"Melihat kepada punca tersebut, dapat difahami mengapa boleh berlaku peningkatan kes keganasan rumah tangga sewaktu pandemik adalah kerana masalah kewangan serta ketidaktentuan masa depan menimbulkan konflik yang ketara.


"Walaupun kes ini telah dalam tindakan pihak berkuasa, usaha berterusan dalam membendung isu keganasan rumah tangga dan pemulihan ekonomi pasca pandemik harus digiatkan.


"Peningkatan kes berikutan penurunan kualiti hidup dan keresahan ekonomi ini wajar diberikan perhatian serius," katanya.


Justeru, Fadhlina menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada sama ada benar-benar memberi perlindungan yang sewajarnya.


Beliau juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan komuniti masyarakat bertindak sebagai petugas barisan hadapan dalam membendung isu keganasan rumah tangga.


"Misi memperkasakan komuniti dan badan bukan kerajaan sebagai kumpulan barisan hadapan dalam menangani isu keganasan rumah tangga perlu disegerakan.


"Kerajaan juga digesa agar mempercepatkan Rang Undang-undang Akta pekerja sosial serta melakukan semakan terhadap Akta Keganasan Rumahtangga khususnya berkaitan perlindungan dan pembelaan untuk mangsa.


"Usah kita lalai dalam usaha mempertahankan kemerdekaan ini. Jangan sampai wanita kita merdeka sebagai warganegara tetapi tidak sebagai warga-rumah sendiri," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio