Merdeka: Masa untuk merapatkan jurang generasi, menginsafi tuntutan anak muda


Perayaan kemerdekaan kali ke 64 tahun ini harus digunakan untuk memahami jurang generasi yang semakin serius di antara generasi muda dan dewasa.


Ketika generasi muda mahukan politik baharu yang peka rakyat, generasi lebih dewasa sebaliknya lebih bercokol kepada parti-parti politik perkauman dan agama sempit.


Bagi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, jurang kefahaman antara generasi itu harus dirapatkan dengan generasi lebih dewasa wajar berlapang dada mendengar suara anak muda.


"Menginsafi hakikat itu, kita berada dalam saat terpenting dalam abad ini yang harus difahami dan didalami oleh setiap lapisan masyarakat, daripada peringkat ketua-ketua keluarga dan komuniti sehingga ke tahap pimpinan negara.


"Cabaran yang saya maksudkan adalah jurang generasi ataupun ‘generational divide’ yang sedang kita lihat.


"Setiap generasi mempunyai detik 'kemerdekaan' nya, dan ditimbulkan sama ada melalui isu, kejadian, situasi ataupun darurat yang mendorong sekumpulan orang untuk berhenti menerima sesuatu situasi dan mula bertindak membetulkan kesilapan-kesilapan yang dilihatnya.


"Misalnya, Dr. Martin Luther King belum tentu akan tertonjol sebagai ikon pembebasan jika tidak berlakunya penindasan warna kulit. Kemerdekaan India tidak mungkin dapat dicapai tanpa jerih-payah Mahatma Gandhi. Begitu juga dengan negara kita ke arah membebaskan tanah ini daripada cengkaman kuasa luar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Amirudin kembali mengungkapkan pengalaman peribadinya dalam perjuangan rentas generasi menuntut keadilan dan kemerdekaan sebagai anak muda sehingga kepada tahap yang lebih dewasa dalam pergulatan politik.


Katanya, perjuangan itu memberikan nilai tambah yang mematangkan hidup rakyat Malaysia sejak era Reformasi 1998.


"Secara peribadi, kesedaran saya untuk menjadi lebih aktif dan menyumbang kepada pembangunan negara tercetus pada tahun 1998 yang kemudiannya dikenali sebagai Generasi Reformasi. Generasi ini bangkit menuntut keadilan akibat berlakunya beberapa insiden melibatkan kuasa negara digunakan secara sewenang-wenangnya bagi kepentingan tertentu.


"Ini disusuli pula dengan Generasi Bersih sepuluh tahun kemudian yang melihat lahirnya generasi baharu yang menuntut, antara lain, supaya meratakan padang sistem pilihan raya.


"Kini, kita berada pada titik pertimbangan itu dan kemuncak lahirnya generasi baharu, ‘on the precipice of the birth of a new generation’ yang menuntut supaya masa hadapan negara tidak ditentukan hanya oleh mereka yang dilihat sebagai generasi Perang Dingin.


"Generasi ini merasakan suara mereka tidak didengari pimpinan politik dan negara yang berasaskan sistem hierarki. Mereka melihat sistem ini didirikan dengan konsep jalan sehala kerajaan kepada rakyat, tanpa wujudnya dialog yang sewajarnya," kata Amirudin.


Tambah beliau, bahasa politik yang digunakan kini dilihat tidak relevan dan tidak menyentuh kepentingan generasi muda kerana lahir dari perasaan yang kurang ikhlas.


Malah pada peringkat parti yang memerintah negara seolah-olah menolak penglibatan generasi muda daripada kekal 'engaged' menjadi tidak peduli, atau 'disengagement', malahan mungkin membawa kepada 'apathy' ataupun pendirian sinikal.


Generasi muda, katanya, menuntut supaya padang permainan menjadi rata agar medan politik menjadi lebih inklusif, bukan terpaut kepada sistem, pendekatan, komitmen dan kesilapan yang lepas.


"Dunia yang bakal mereka warisi terpaksa menghadapi cabaran yang berlainan berbanding generasi sebelum ini. Antaranya seperti perubahan iklim, perumahan mampu milik, model pengajaran dan pembelajaran yang bertaraf dunia, peluang dan kualiti pekerjaan baharu, serta sistem kewangan yang lebih adil dan saksama.


"Oleh itu, negeri Selangor tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea di luar kotak, seperti usaha ke arah mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bentuk Selangor Advance, Selangor Freelancer, Niaga Darul Ehsan, perumahan mampu milik berkualiti Rumah Idaman, serta pengkhususan kepada kesihatan awam menangani penularan wabak Covid-19, seperti saringan berskala besar serta bantuan pantas kepada golongan yang amat terkesan.


"Cara dan pendekatan yang digunakan untuk menangani perkara ini amat penting kerana generasi muda bakal menjadi duta abad ke-21," katanya lagi.


Namun tegas Amirudin, penting kepada generasi muda dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan dalam deja vu tahun ini untuk mengenang dan memahami usaha serta pengorbanan yang disumbang oleh generasi-generasi yang lepas agar tidak terkeluar daripada rasa kekitaan dalam memelihara identiti kebangsaan


Begitu juga, beliau menasihati rakyat agar kekal siaga dalam perang melawan Covid 19 yang belum berakhir mengorbankan lebih 14,000 nyawa dan menjangkiti sekurang-kurangnya 1,593,602 warga biar pun sekurang-kurangnya 3,312,825 ataupun 69.75% daripada populasi dewasa yang mendaftar telah divaksin.


Di samping itu, Amirudin turut menyeru agar rakyat kembali menginsafi sejarah kepayahan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan, kemudian rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang membakar negara untuk menjadi rakyat yang lebih prihatin, bertolak ansur serta menghayai 5 prinsip asas Rukun Negara bagi menjamin kestabilan berterusan Malaysia.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER