
Ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke 65 yang disambut hari ini perlu dihayati oleh seluruh rakyat akan makna sebenar kemerdekaan itu.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merdeka bukanlah bererti menghalau penjajah Inggeris tetapi membenarkan kuasa lain berperilaku sama seperti penjajah, menekan kebebasan rakyat.
Merdeka, katanya, adalah kebebasan penuh rakyat melantik pemerintah yang tidak mengongkong atau menzalimi mereka.
"Kita menyambut merdeka 65 tahun seperti mana sering ditegaskan merdeka bermakna membebaskan negara daripada cengkaman penjajah yang menindas.
"Merdeka (sebenarnya) bermakna rakyat merasakan kebebasan yang tidak pernah dirasakan sepenuhnya. Peninggalan Inggeris harus dileburkan dan jangan diizinkan kuasa baharu sama ada dari kalangan peribumi atau rakyat Malaysia menggunakan strategi menekan, merompak, memperkaya segolongan kecil seperti mana dilakukan oleh penjajah.
"Inilah erti memaknai, menghayati semangat merdeka yang harus wujud di kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kebangsaan, hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengharapkan rakyat berdoa agar bumi Malaysia akan menikmati kemerdekaan sepenuhnya dan majoriti rakyat akan terbuka fikiran untuk sentiasa membawa perubahan ke arah kebaikan.
"Kita berdoa kepada Allah agar kemerdekaan kali ini memberi pengertian yang lebih supaya kesedaran rakyat meningkat.
"Jangan merdeka itu menjadi pecaturan mainan segelintir penguasa dan elit politik memperolehi manfaat melimpah tetapi kecil sahaja habuan kepada rakyat.
"Merdeka ertinya merdeka rakyat," kata Anwar lagi.
Comments