Strategi KEADILAN menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 perlu diperhalusi dan bersifat pro rakyat bagi memastikan kemenangan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Lipis, Rizal Jamin, hanya perjuangan isu isu rakyat yang akan diterima dalam PRU berdasarkan senario Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor.
"Bagi kita untuk tarik minat rakyat mesti memastikan perjuangan kita berorientasikan kepada kepentingan rkayat. Hak mereka untuk mengundi, Undi 18, kesinabungan ekonomi mereka dan sebagainya," kata beliau dalam forum maya "Jangan Panas Bersama Sam" yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, baru baru ini.
Manakala mengulas mengenai isu tempatan seperti banjir di Pahang, Rizal berkata, KEADILAN harus memainkan isu kegagalan kerajan Pahang bertindak lebih kreatif dalam menjana hasil negeri menyebabkan malapetaka sering berlaku
Katanya, penerokaan hasil bumi seperti pembalakan dan perlombongan menyebabkan Pahang mengalami banjir besar saban tahun dan hal itu perlu diatasi.
"Saya tidak nampak kerajaan hari ini menyusun ekonomi dan pentadbiran pada keadaan yang baik. Hal ini menyebabkan banjir dan bencana besar
"Kenapa keadaan ini berlaku? Sebab Kerajaan Negeri mahu jalan pintas mendapatkan hasil. Kalau kita tengok sekitar 100,000 juta daripada perolehan Pahang bergantung pada pembalakan. Ini jumlah besar. Jika dikurangkan aktiviti pembalakan maka kantong Kerajaan Negeri akan kurang. Saya nampak penyebab utama adalah kurangnya kreativiti kerajaan Pahang mencari punca pendapatan baharu
"Kita dalam KEADILAN harus berusaha menawarkan penyelesaian masalah ini," katanya
Ditanya mengenai sokongan kepada calon timbalan presiden, Rizal menyatakan beliau lebih bersedia menyokong mana mana calon yang bersetuju dengan arus sokongan rakyat.
Menurut beliau, rakyat tidak wajar diberi pilihan pelbagai parti sehingga memecahkan undi. Seharusnya diusahakan satu lawan satu untuk memaksimumkan pengumpulan undi.
"Saya pilih pemimpin yang cekap membaca isyarat dari rakyat. Kita telah dapat isyarat rakyat di Johor dan Melaka. Di Melaka kita mendapat 35% undi popular. Di Johor kita dapat undi 21% dan BN 43%.
"Maksudnya undi maksima kepada BN hanya 40% lebih berbanding pengundi ke pihak lawan BN. Isyaratnya ialah rakyat hanya mahu pilih A atau B. Apabila kita beri pilihan lebih banyak ada C, D, E ini menyebabkan pembangkang berpecah.
"Pembangkang perlu duduk semeja dan berunding untuk menghadapi BN. Kita punya motto atau agenda jelas membina kerajaan berpaksikan rakyat.
"Cuma kita tidak ada kata sepakat masuk PRU dengan 2 pilihan parti. Dan itu boleh diusahakan dalam 4 - 5 bulan ini," katanya lagi.
Rizal akan mempertahankan kerusi Ketua Cabang KEADILAN Lipis dalam pemilihan kali ini.
Yorumlar