Menjelang Tahun Baharu Cina, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa (gambar, tengah) malam tadi merasmikan tanglung tahun baharu di Jalan Alor, Kuala Lumpur.
Menurut Dr Zaliha, menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di Malaysia meraikan perayaan kaum lain dengan penuh harmoni dan saling kunjung mengunjung.
"Menyantuni jemputan Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor Kuala Lumpur ke Majlis Perasmian Tanglung Sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Alor, semalam.
"Adalah menjadi amalan kita di Malaysia untuk meraikan perayaan semua kaum dalam suasana yang harmoni. Keharmonian masyarakat ini merupakan kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia sedari dahulu hingga kini," katanya dalam catatan di Facebook.
Tegas Dr Zaliha, semua kaum di Malaysia perlu saling menguatkan untuk mencapai kejayaan bersama dalam membina Malaysia baharu yang lebih cemerlang.
"Tidak dapat dinafikan, semua bangsa dan agama di Malaysia ini ada peranan mereka yang tersendiri dalam pembangunan dan ketamadunan manusiawi di negara kita, begitu juga masyarakat Tiong Hua.
"Pada majlis ini, saya merasmikan tanglung yang dipasang di sepanjang Jalan Alor khususnya bagi memeriahkan lagi sambut Tahun Baharu Cina yang akan menjelang beberapa hari lagi," katanya.
Tahun Baharu Cina akan disambut pada 10 dan 11 Februari ini dan cuti umum berlanjutan sehingga 12 Februari.
Comments