Janji Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mempertahankan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur dihargai namun bagaimanakah nasib beberapa kolam yang telah diberi izin pembangunan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, baki 9 kolam akan terselamat dengan janji tersebut namun nasib 6 kolam yang ditimbulkan sejak minggu lalu mungkin tidak dipertahankan oleh Menteri.
"Saya terima baik janji Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa tiada lagi kolam takungan banjir yang akan diberi milik untuk pembangunan.
"Tapi jika diteliti kenyataan Menteri, ia terpakai bagi baki 9 kolam yang belum diberi milik. Tapi bagaimana dengan 6 yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 siri 2?
"Oleh itu, saya pohon penjelasan dari Menteri apakah status 6 kolam banjir yang telah dijual atau diberi milik sejak 2015? Adakah telah diberi Kebenaran Perancangan (DO), atau tidak? Atau dibatalkan?" tanyanya.
Selain itu, Fahmi juga bertanya mengenai nasib Kolam Takungan Banjir Batu 4 ½ bersebelahan PPR Seri Anggerik yang telah diberi milik pada 5 Ogos 2020 kepada sebuah syarikat yang baru berusia 'setahun jagung'.
"Adakah premium berpuluh juta bagi tanah seluas 3.98 ekar ini telah dibayar?" tanyanya lagi.
Isu kolam takungan banjir tular sejak seminggu lalu apabila beberapa Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan kolam berkenaan telah diberi izin pembangunan.
Ahli Parlimen Pembangkang Wilayah Persekutuan bimbang sekiranya saiz kolam takungan banjir dikecilkan maka banjir besar akan melanda Kuala Lumpur di tengah tengah perubahan iklim yang dialami negara waktu ini.
Commentaires