top of page

Menteri Wilayah minta DBKL perkemas SOP, tutup ruang rasuah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 minutes ago
  • 1 min read


Datuk Bandar Kuala Lumpur diberi arahan supaya segera memperbaiki serta memperkemas prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menutup ruang salah laku rasuah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menandatangani kerjasama bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur minggu lalu.


Semakan dijalankan suruhanjaya itu terhadap banyak SOP sedia ada di DBKL mendapati terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Saya sudah minta Datuk Bandar menyegerakan (tindakan berkaitan kelemahan pengurusan kontrak) supaya rakyat jelas dengan proses permohonan lesen perniagaan serta tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.

"Semuanya perlu ada hitam putih (supaya) orang jelas dan tiada lagi ruang kelemahan yang boleh mengakibatkan interpretasi yang berbeza," katanya dipetik.


Hannah berkata begitu menerusi sidang akhbar di Menara Seri Wilayah sempena Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan SPRM pada Selasa.


Terdahulu, media melaporkan pengurusan dan pemantauan pelbagai kontrak oleh DBKL, termasuk proses penganugerahan lesen perniagaan, dilihat lemah dan ketinggalan.


Kelemahan yang bersifat tersembunyi itu dikhuatiri membuka ruang kepada risiko penyelewengan dan salah laku rasuah, sama ada melibatkan penguat kuasa atau pihak berkepentingan.

"Saya menyambut baik siasatan tatakelola oleh SPRM, dapatan dan saranan penambahbaikan agensi itu adalah tepat dan perlu dilaksanakan segera demi memperkukuh integriti serta ketelusan DBKL," tegasnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page