top of page

Menteri sindir hipokrasi pembangkang enggan sokong Belanjawan 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 2 min read
DS Ahmad Maslan membidas pembangkang yang tidak menyokong Belanjawan 2026.Foto:Jabatan Penerangan
DS Ahmad Maslan membidas pembangkang yang tidak menyokong Belanjawan 2026.Foto:Jabatan Penerangan

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyindir sikap wakil rakyat pembangkang yang meminta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka namun tidak menyokong Belanjawan 2026.


Beliau memberikan reaksi itu sebagai jawapan tambahan kepada soalan seorang Ahli Parlimen pembangkang mengenai perancangan kementerian menaik taraf jalan di Johor.

"Semalam (Selasa) pembangkang-pembangkang ini tak menyokong pun belanjawan, lepas itu minta itu, minta ini…belanjawan semalam pun untuk rakyat, tapi mereka tak sokong," katanya dipetik pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.


Hasrat pembangkang untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 atau Belanjawan 2026 menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat pada Selasa, tidak berhasil.


Undian tersebut menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.


Sebelum itu, Ahmad Maslan memberitahu dewan bahawa kementeriannya sentiasa komited menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor.


Langkah itu jelasnya sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi serta aliran trafik di kawasan itu.


Katanya, terdapat sembilan zon perdana JS-SEZ yang direka bentuk bagi memastikan sambungan infrastruktur yang lancar melalui jaringan jambatan, lebuh raya dan pelabuhan.


Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya telah memberikan kelulusan kepada sejumlah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


Beliau menjelaskan, projek tersebut termasuk pembinaan lorong tambahan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara (Fasa 1) dan projek naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang daripada empat lorong kepada enam lorong dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur naik PLUS.


Kerajaan juga meluluskan sejumlah projek baharu dalam Rancangan Boleh Pinda 1 RMK13 bagi menyokong pembangunan JS-SEZ, antaranya kerja awalan naik taraf Jalan Parit Panjang dari Pekan Air Baloi, Pontian ke Persimpangan Tol Sedenak dan projek naik taraf Lebuh Raya Senai-Desaru dari Jambatan Sungai Johor ke Desaru.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page