Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membidas sikap lemah dan layu menteri Kerajaan BN - PN yang kini digelar rakyat sebagai 'pelancong banjir' yang memahami keperluan sebenar dan kegetiran mangsa banjir.
Tegas Majlis Presiden, kerajaan BN-PN yang dianggap lemah oleh rakyat itu jangan pula cuba menghalang kritikan di media sosial ke atas mereka dengan meminta penyedia perkhidmatan berkenaan tidak menyiarkan hal hal buruk berkaitan kerajaan.
"Majlis Presiden menyampaikan ucapan takziah buat 41 orang mangsa bencana banjir di seluruh negara dan amat kesal dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan menangani krisis yang menyebabkan ramai tidak mendapat bantuan semasa dan pasca banjir.
"Pakatan Harapan mendesak Kerajaan untuk bertindak lebih tegas dengan pemberian bantuan kewangan yang mesti melebihi apa yang diberi oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri.
"Kegagalan Kerajaan Persekutuan ini telah menerima kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter, khususnya para Menteri yang begitu layu dan lemah dalam respons menyelamat dan membantu mangsa sehingga diberi gelaran ‘pelancong banjir’.
"Tindak balas Kerajaan Persekutuan atas kritikan-kritikan berasas ini bukan sahaja gagal meningkatkan mutu perkhidmatan para Menteri sebaliknya cuba menghukum dan menutup mulut rakyat.
"Apakah kritikan-kritikan itu begitu menggugat keselamatan negara, sehingga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terpaksa meminta Twitter memadam kritikan para netizen ini?" tanya mereka dalam satu kenyataan
Menurut Majlis Presiden PH, amat malang bagi Malaysia apabila suruhanjaya di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dijadikan alat untuk menghentikan kritikan terhadap kerajaan di bawah sistem demokrasi yang mengamalkan kebebasan bersuara.
Justeru, Majlis Presiden menyifatkan tindakan SKMM berkenaan bersifat anti-demokrasi dan mengingatkan rakyat tentang sifat kuku besi diktator yang pernah rakyat Malaysia lihat dahulu.
"Kita tidak patut dan tidak boleh kembali ke zaman itu lagi, apatah lagi apabila negara sedang merangka masa depan yang berpaksikan digitalisasi dan teknologi maklumat yang lebih terbuka.
"Yang paling kami kesali bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir.
"Kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya. Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera.
"Dalam era 5G yang bakal tiba, Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, dan tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang," kata mereka lagi.
Majlis Presiden dalam pada itu turut mengucapkan Selamat Hari Natal buat semua rakyat Malaysia yang menyambutnya. Semoga tahun baru 2022 lebih baik buat rakyat Malaysia.
Comentarios