Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai agar membeli stok beras berdasarkan keperluan keluarga.
Beliau berkata, bekalan beras tempatan mencukupi untuk pasaran tempatan dan pengguna tidak wajar terpengaruh dengan khabar angin sehingga menyebabkan berlakunya pembelian panik yang menjejas rantaian bekalan.
Malah kerajaan terus komited memastikan rakyat mendapat bekalan makanan ruji itu termasuk menerusi inisiatif Jualan Rahmah Beras di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
"Beras ada (dalam pasaran), cuma jika perlu beli dua kampit sebulan maka beli dua kampit, bulan depan beli lagi. Ini bila baca blog (dakwaan beras kurang), mula cemas dan anggap dua ke tiga bulan lagi beras tiada, jadi mereka beli beras sampai empat ke lima kampit.
"Bila beli banyak dan simpan sampai hingga dua ke tiga bulan, beras itu pun akan rosak dimakan bubuk (kutu beras) dan sebagainya," katanya.
Mohamad Sabu ditemui pemberita selepas merasmikan Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Felcra di Seberang Perak di Pasir Salak pada Jumaat.
Commenti