Penangguhan kuatkuasa pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) daripada 1 September lalu kepada 1 Januari 2023 sepatutnya tidak berlaku sekiranya dibantah oleh Menteri menteri kabinet yang lain dalam Jemaah Menteri.
Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Pekerja KEADILAN Datin Faizah Ariffin, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun sepatutnya bertegas untuk tidak menyokong Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam hal tersebut.
Katanya, terdapat manfaat yang besar kepada wanita yang bekerja digariskan dalam pindaan Akta Kerja berkenaan.
"Menteri Rina Harun sewajarnya tidak dilihat gagal dalam mempertahan hak wanita yang terdapat dalam klausa pindaan Akta Kerja tersebut
"Beliau seharusnya lebih tegas dan lantang dalam isu ini yang mana pindaan telah sekian lama dinanti-nantikan oleh wanita Malaysia.
"Mengapa beliau dengan mudah tunduk kepada permintaan pihak industri dan majikan berbanding memilih untuk memastikan penguatkuasaan ini dapat berjalan dalam tempoh waktu yang ditetapkan?" tanya Faizah dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pindaan Akta Kerja 1955 telah melalui proses perbincangan dan rundingan dengan pemegang taruh sejak sekian lama sehingga diluluskan di Parlimen pada Mac 2022.
Pindaan itu, kata beliau kemudiannya menerima perkenan Yang Dipertuan Agong pada 26 April dan diwartakan pada 10 Mei lalu.
Alasan pihak industri dan majikan kononnya kesuntukan masa bagi membuat persediaan rapi, ujar Faizah, hanyalah helah untuk melengahkan penguatkuasaan akta berkenaan.
"Antara perincian dalam pindaan ini yang memberi manfaat kepada wanita ialah pemanjangan cuti bersalin hingga 98 hari, tambahan cuti paterniti kepada 7 hari, perlindungan dari pemberhentian kerja semasa kehamilan, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam dan banyak lagi.
"Oleh itu saya ingin bertanya kepada YB Menteri Pembangunan Wanita, tidakkah adakah secebis rasa empati untuk tegas memperjuangkan hak hak wanita di Malaysia ?
"Bagi tempoh 4 bulan berbaki menjelang 1 Januari 2023, berapa ramai wanita di luar sana yang tidak mendapat manfaat dan mengalami kerugian masa serta emosi apabila beliau (Rina) memilih bersikap longlai dalam mempertahankan hak wanita ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Faizah menggesa Rina segera mendesak Kabinet untuk menyegerakan penguatkuasaan Akta Kerja tersebut.
Katanya, masih belum terlambat untuk beliau membuktikan dirinya bersama-sama dalam gerakan memperjuang dan mengangkat martabat wanita Malaysia.
Comments