
Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammmad Bakhtiar Wan Chik membidas sikap Menteri Pelancongan, Datuk Nancy Shukri yang enggan mendengar teguran mengenai fakta yang digunakan di Dewan Rakyat.
Dalam sesi jawab lisan, Bakhtiar bangun mempersoalkan kenyataan Nancy yang menyatakan kadar penghunian hotel sepanjang tempoh PKP adalah sekitar 75 hingga 100%, berbeza dengan fakta yang dinyatakan sebelum ini.
"Saya bangun memperbetulkan fakta itu namun telah disanggah oleh Menteri dengan mengatakan “YB bukan lagi Menteri, tidak terima laporan”.
"Kadar penghunian hotel ialah 31% dan saya dapat data ini dari Malaysian Association of Hotels (MAH). Saya juga dapati sebelum ini menteri yang sama memberi kadar yang sama iaitu 31%," katanya kepada Suara Keadilan.
Bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu juga menggesa Nancy supaya mendapatkan fakta dari sumber yang sahih.
"Saya harap menteri lebih berhati-hati menjawab soalan dengan fakta yang benar dari sumber yang sahih bukan hanya membuat sampling sendiri," katanya lagi.