
Oleh: Helmi Mohd Foad
Suara dan gesaan rakyat Malaysia yang mahukan Palestin merdeka telah disampaikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 Januari 2024.
Memuji perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gencatan senjata dan pembebasan Palestin daripada penjajahan zionis Israel amat penting untuk memastikan keamanan berkekalan di Asia Barat.
"Gesaan Malaysia ini seiring dengan kenyataan TYT Antonio Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

"Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak. Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.
"Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini," katanya di Facebook.
Tegas Anwar, Malaysia konsisten dengan perjuangan memerdekakan Palestin sejak berdekad dekad lalu dan tidak bertolak ansur terhadap kezaliman rejim zionis di Gaza yang telah mengorbankan ribuan nyawa penduduk Palestin ketika ini.
Semua itu, katanya, hanya akan berakhir dengan dilaksanakan solusi dua negara merdeka, Israel dan Palestin, bukannya terus menekan perjuangan rakyat membebaskan tanah air.
"Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip yakni Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota," katanya lagi.
Untuk rekod, serangan udara dan darat berterusan rejim Israel di Gaza telah mengorbankan hampir 25,000 orang awam Palestin sejak peperangan tercetus pada 7 Oktober 2023 lalu.
Comments