Menteri KPKT hadiahkan arca "Rise Up Together" kepada PM Anwar
- Suara Keadilan
- Aug 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menghadiahkan karya seni khas “Rise Up Together” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-78 semalam.
Menerusi satu kenyataan, Kor Ming yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata, arca istimewa itu melambangkan perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian rakyat Malaysia.
"Rise Up Together melambangkan kekuatan dan kesatuan rakyat berbilang kaum serta agama yang berdiri bersama sebagai satu bangsa, selari dengan visi utama Kerajaan MADANI," katanya.
Menurut Kor Ming, arca tersebut dihasilkan secara tempahan khas ketika lawatan rasminya ke Nairobi, Kenya, bagi menghadiri Perhimpunan Agung UN-Habitat.
Sementara itu beliau turut memuji pentadbiran MADANI yang berjaya mewujudkan kestabilan politik sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Di bawah Malaysia MADANI, masyarakat berbilang kaum dapat menjadi lebih bersatu, makmur dan progresif.
"Dengan ekonomi yang berkembang, ringgit yang semakin kukuh, dan peningkatan kedudukan daya saing global, Malaysia berada di landasan yang betul. Kita mesti terus memelihara perpaduan dan keharmonian demi memastikan keamanan dan kemajuan berkekalan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kejayaan Perdana Menteri yang turut berjaya memperkukuh kedudukan Malaysia di arena global termasuk peranan sebagai pengantara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang mendapat pengiktirafan pemimpin dunia.
"Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, kita akan merealisasikan visi Rise Up Together dan menjadikan Malaysia contoh negara harmoni," tambahnya.
Comments