Menteri Komunikasi semuka Meta, bukti kerajaan Madani tegas lindungi rakyat
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Bagi mereka yang pernah melaluinya, kehilangan wang simpanan sekelip mata akibat diperdaya scammer atau terjebak dengan judi dalam talian bukanlah pengalaman indah.
Statistik kes jenayah siber yang kian meningkat menjadikan isu ini antara cabaran terbesar dalam dunia digital hari ini menyebabkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tampil bersemuka dengan wakil syarikat teknologi gergasi Meta, pemilik Facebook bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kerajaan terhadap kegagalan pengendali platform itu membendung lambakan penipuan dan aktiviti haram.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim ketika dihubungi Suara Keadilan menyifatkan langkah itu sebagai bukti kerajaan Madani tidak sekadar berdiam diri, sebaliknya berani bertindak demi kepentingan pengguna.
"Kerajaan mengambil pendekatan tegas. Melalui Akta SKMM, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana platform yang lalai, dan inilah bukti kesungguhan kerajaan mengelak rakyat rugi akibat scammers, judi serta pelbagai jenayah atas talian.
"Pertemuan tersebut memberi mesej jelas bahawa penyedia perkhidmatan digital tidak boleh hanya mengaut keuntungan tanpa menjaga keselamatan pengguna.
"Keberanian bersemuka dengan Meta menunjukkan kerajaan Madani benar-benar serius membina ekosistem digital yang lebih selamat. Ia juga membangunkan keyakinan rakyat bahawa keselamatan mereka di alam maya sentiasa menjadi keutamaan," ujarnya.
Ujar Fakharuddin, bagi masyarakat langkah itu bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang, tetapi cerminan sebuah kerajaan yang mendengar keluh kesah rakyat dan bertindak tegas, walaupun terhadap gergasi teknologi global.
"Kalau dulu mungkin ada kerajaan yang segan atau memilih berdiam diri kerana berdepan syarikat antarabangsa yang besar, tapi kali ini berbeza.
"Kerajaan Madani berani menuntut tanggungjawab daripada mereka. Ini sangat penting kerana kita mahu lihat syarikat teknologi menghormati undang-undang negara kita," tegasnya.
Fakharuddin turut mengingatkan rakyat supaya menyokong usaha kerajaan dengan melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan di platform media sosial agar tindakan pantas dapat diambil.
"Keselamatan dunia digital bukan hanya tugas kerajaan semata-mata. Ia juga memerlukan kerjasama masyarakat untuk sama-sama memantau dan melindungi diri mereka.
"Dengan kerjasama ini, kita boleh kurangkan risiko rakyat terus menjadi mangsa," katanya sambil memaklumkan pihak Penerangan KEADILAN Johor kini merancang program penerangan bagi menyebarluas inisiatif kerajaan dan manfaat kepada rakyat.









Comments