Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023: Fahmi rai kejayaan penggiat filem
- Suara Keadilan
- Dec 20, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil hadir di Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 bagi meraikan 26 orang penggiat industri filem dan bakat kreatif.
Menerusi kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), anjuran program itu antara lain bagi menghargai pencapaian penggiat seni yang telah mencatatkan kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Kejayaan yang membanggakan tersebut merangkumi pencapaian 30 buah filem tempatan yang telah menembusi festival-festival filem antarabangsa serta meraih pelbagai anugerah," kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, pencapaian tersebut turut disokong melalui galakan Dana Kandungan Digital (DKD) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sehingga berjaya mengumpul RM98.8 juta membabitkan 56 buah filem tempatan.
"Ia termasuk, RM30.1 juta bagi pelaksanaan 171 buah projek sedia ada yang menghasilkan 8,550 peluang pekerjaan.
"Selain itu, RM23 juta kelulusan peruntukan bagi 79 projek baharu dengan manfaat 3,950 peluang pekerjaan," kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, FINAS turut menggariskan beberapa fokus utama bagi rekalibrasi industri filem bagi tahun hadapan, antaranya meningkatkan daya saing ekonomi melalui skop pelaburan, pembiayaan dan kebolehpasaran berdasarkan ekosistem baharu serta memperkasakan profesionalisme modal insan melalui skop pekerjaan, pendapatan dan kebajikan.
Kata FINAS pada waktu ini pindaan Akta FINAS 244 dan Dasar Perfileman Negara (DFN) sedang dikemas kini, serta diperkasakan dengan misi menjadikan industri perfileman negara berdaya saing dan bertaraf global.
Comments