Menteri KKD bentang laporan prestasi setahun untuk dinilai
- Suara Keadilan
- Dec 6, 2023
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
ANALISIS: Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil membentangkan kad laporan prestasinya sepanjang setahun memegang jawatan tersebut sejak 5 Disember tahun lalu bagi dinilai oleh rakyat.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu banyak inisiatif diusahakan untuk kebaikan rakyat dan negara.
"5 Disember 2022, saya mulakan tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Digital (KKD). Hari ini (semalam), 5 Disember 2023, genap setahun saya menggalas tanggungjawab dan amanat ini.
"Banyak perkara yang saya belajar dalam tempoh ini dan pelbagai inisiatif saya cuba usahakan sedaya upaya saya demi kebaikan rakyat dan negara, Insya-Allah. Dengan ini, saya lampirkan Kad Laporan 365 hari saya sepanjang di KKD untuk penilaian rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perancangannya selepas ini ialah mahu liputan Internet dapat mencapai tahap 100 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2025.
Beliau juga akan memperkenalkan dasar di mana ada jalan di situ ada Internet.
Kementeriannya juga akan berusaha menubuhkan Majlis Media Malaysia.
Selain itu, beliau juga mahu memperkenalkan konsep perkongsian rangkaian bagi mengelak panggilan kerap putus dan membentuk Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia.
Dalam infografik yang dikongsikan, kad prestasi tersebut memberikan perincian berhubung prestasi KKD di bawah teraju Fahmi dimulai dengan 10 percapaian dilakukan.
Berikut butiran mengenai perkara itu:
1. Harga harga perkhidmatan Internet diturunkan tujuh kali sehingga inflasi telekomunikasi cecah negatif.
Ia melibatkan penurunan caj Internet prabayar kepada RM5 sebulan untuk golongan sasar, rebat Internet untuk pengamal media, harga Jalur Lebar diturunkan kepada RM69 sebulan, Jalur Lebar TM diturunkan untuk semua pakej.
Diskaun RM10 sebulan diberikan kepada penjawat awam dan Pakej 5G Rahmah sebanyak RM60 untuk data 60GB berserta telefon (bernilai RM1,099 dengan harga RM240).
2. Pengguna 5G melonjak kepada lebih 3 juta dalam setahun.
Dalam tempoh setahun ini, pengguna 5G melonjak kepada lebih 3 juta berbanding 404,323 tahun lalu iaitu peningkatan 790 peratus.
3. Penduduk kawasan pedalaman dan luar bandar menikmati Internet Starlink.
Sebanyak 10 unit peranti dipasang bagi manfaat 3,000 penduduk. Sebelum ini mereka tiada akses Internet.
4. Semua telco setuju tawar khidmat 5G
Di bawah teraju Fahmi, semua telco menandantangani Perjanjian Ekuiti (SSA) Digital Nasional Bhd dan buat pertama kali semuanya bersetuju menawarkan perkhidmatan 5G.
5. Indeks Kebebasan Media di kedudukan terbaik dalam sejarah Malaysia
Malaysia di kedudukan ke 73 dengan kenaikan 40 anak tangga berbanding tahun lepas
6. Gaji pengurus dan penolong pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi)
Dinaikkan kepada RM2,500 dan RM2,000 iaitu peningkatan RM500
7. Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diluluskan Kabinet
Pindaan ini akan meneliti pemakluman wajib syarikat pemegang atau pengguna data kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sekiranya berlaku kebocoran serta tingkatkan jumlah denda.
8. Pusat Ekonomi Digital (PEdi) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sebanyak 186 PEDi baharu dibina di seluruh negara bagi meningkatkan ekonomi digital penduduk setempat
9. Peluang pekerjaan ekonomi digital meningkat 23 peratus
Terdapat 21,420 peluang pekerjaaan baharu dari Januari hingga November lalu berbanding 17,439 bagi tempoh masa sama tahun lepas.
10. Duti hiburan persembahan pentas diturunkan dengan drastik
Duti hiburan persembahan artis antarabangsa dikurangkan dari 25 peratus kepada 10 peratus manakala duti hiburan persembahan artis tempatan dari 25 peratus kepada sifar
Comments